Sistem Insurans Pekerjaan dinaikkan hingga RM25,000

Sistem Insurans Pekerjaan dinaikkan hingga RM25,000

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sokongan dan perlindungan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) bakal dinaikkan sehingga RM25,000 untuk setiap pencarum menerusi beberapa penambahbaikan, berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, antara penambahbaikan utama ialah kenaikan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) daripada 25 kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan.

Selain itu katanya, Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) sebanyak RM1,000 secara sekali bayar turut diperkenalkan kepada pencarum yang menerima pekerjaan baharu pada jarak lebih 100 kilometer dari kediaman mereka.

“Elaun Latihan turut dinaikkan daripada RM10 kepada RM30 sehari manakala Fi Latihan ditingkatkan daripada maksimum RM4,000 kepada sehingga RM7,000,” katanya selepas merasmikan Festival Mega İLINDUNGu: KESUMA Bersama Rakyat di Strand Mall Kota Damansara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, penambahbaikan menerusi pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) itu memberi lebih banyak ruang kepada pencarum untuk mengikuti latihan, meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran kerja semasa.

“Secara keseluruhannya, sokongan dan perlindungan di bawah SIP kini boleh mencecah sehingga RM25,000 bagi seorang pencarum tertakluk kepada kelayakan dan faedah yang diterima.

“Reformasi ini memperkukuh sokongan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan bukan sahaja melalui bantuan pendapatan tetapi juga latihan, peningkatan kemahiran serta bantuan untuk kembali bekerja dengan lebih cepat.

“Kita mahu perkhidmatan Perkeso bergerak seiring dengan pencarum melalui pemadanan pekerjaan, khidmat nasihat kerjaya, latihan semula serta penggunaan data pasaran buruh melalui MYFutureJobs kita mahu memastikan pencarum mendapat sokongan yang menyeluruh untuk bangkit dan kembali ke pasaran pekerjaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ramanan berkata, lebih 8.5 juta pekerja kini dilindungi menerusi LINDUNG 24 Jam sekali gus menunjukkan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan perlindungan sosial.

Katanya, lebih ramai pekerja perlu mengambil peluang mendaftar dan mencarum di bawah skim berkenaan tanpa menunggu sehingga berlaku kemalangan atau musibah.

“Jangan tunggu sehingga berlaku kemalangan atau musibah baru hendak mendapatkan perlindungan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×