Syarat tahanan rumah Najib perlu diperincikan, diumum kepada rakyat - Utusan Malaysia

Syarat tahanan rumah Najib perlu diperincikan, diumum kepada rakyat

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua syarat yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak termasuk pelaksanaan baki hukuman secara tahanan di rumah, perlu dinyatakan secara terperinci dan diumumkan kepada rakyat bagi menjamin ketelusan keputusan Lembaga Pengampunan.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perincian berhubung syarat berkenaan penting bagi mengelakkan keresahan dan kemarahan rakyat yang boleh menggugat integriti badan kehakiman serta keyakinan terhadap sistem perundangan negara.

“Kerajaan wajar menjelaskan kerangka undang-undang, tatacara dan kriteria yang akan digunakan bagi pelaksanaan tahanan di rumah, termasuk sama ada keistimewaan yang sama boleh dipertimbangkan secara adil kepada banduan lain yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Penjelasan ini penting supaya tidak timbul persepsi bahawa terdapat satu bentuk layanan bagi golongan bangsawan, berpengaruh dan satu lagi bagi rakyat biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, Bersatu kekal dengan pendirian menentang kleptokrasi, amalan rasuah dan salah guna kuasa yang menjadi asas perjuangan parti itu.

“Bersatu menegaskan bahawa khazanah negara bukan ladang jarahan. Mereka yang didapati bersalah oleh sistem kehakiman hendaklah dihukum mengikut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Negara.

“Kami senantiasa berpegang kepada prinsip negara hukum, menegakkan prinsip keadilan dan hukuman yang dijatuhkan kepada seseorang adalah saksama tanpa membezakan kerana darjat dan pangkat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, tanpa mengorbankan prinsip dan pendirian, Bersatu menghormati Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memberi ampun, menunda atau melegakan hukuman.

Katanya, kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 terpakai kepada semua banduan yang berhak memohon pengampunan melalui proses undang-undang.
“Namun, dalam masa yang sama, BERSATU memahami kemusykilan yang timbul dalam kalangan rakyat mengenai prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang.

“Rakyat berhak mendapat keyakinan bahawa kedudukan, pengaruh atau latar belakang seseorang tidak mewujudkan piawaian pelaksanaan hukuman yang berbeza daripada yang terpakai kepada rakyat biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×