KAJANG: Siasatan kes rasuah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak, tetap akan diteruskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, status siasatan kes berkaitan bekas Perdana Menteri itu masih berstatus quo.
Katanya, setiap kes perlu dikendalikan secara berasingan berdasarkan isu dan siasatan yang terbabit.
“Setakat yang kita lihat, kes yang masih tertangguh kekal seperti sedia ada. Buat masa ini, status quo masih kekal,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Menembak SPRM Bersama Media di Maktab Penjara Kajang hari ini.
Beliau ditanya sama ada pengampunan bersyarat terhadap Najib memberi sebarang kesan terhadap kes 1MDB dan rayuannya.
Menurut beliau, sesuatu kes tidak boleh disamakan dengan kes lain kerana setiap siasatan melibatkan dakwaan serta isu yang khusus.
“Kita perlu faham setiap kes berbeza antara satu sama lain. Ia tidak boleh dianggap sebagai kes yang sama kerana siasatan dibuat berdasarkan perkara yang sedang disiasat berkaitan isu tertentu atau aduan yang diterima,” katanya.
Pada 26 Disember tahun lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM13.4 bilion oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas kesalahan salah guna kuasa serta pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan berturut-turut dengan hukuman sedia ada yang sedang dijalani Najib di Penjara Kajang berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.
Najib turut berdepan tambahan hukuman penjara 40 tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan beliau membayar denda RM2 bilion atau berdepan hukuman penjara selama dua tahun enam bulan bagi pertuduhan pengubahan wang haram.
Susulan keputusan itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilaporkan berkata, pihak pembelaan akan memfailkan rayuan terhadap sabitan berkenaan pada 29 Disember.
Semalam, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan Najib yang kini berusia 73 tahun diberikan pengampunan bersyarat, membolehkannya menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat ke-64 Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberi perkenan terhadap pengampunan bersyarat berkenaan.- UTUSAN











