Mohamad Sabu sudah beri keterangan SPRM isu kelewatan baja Kedah

Mohamad Sabu sudah beri keterangan SPRM isu kelewatan baja Kedah

MOHAMAD Sabu mengadakan sidang akhbar selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Amanah PRN Melaka di Duyong hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengesahkan beliau telah memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu kelewatan bekalan baja kepada pesawah di Kedah.

Beliau berkata, keterangan itu diberikan selepas dipanggil SPRM dan proses berkenaan telah selesai.

“Saya dah pergi, selesai. Dia panggil untuk memberi penerangan. Saya pergilah memberi penerangan.

“Dia panggil, apa ditanya kita jawab, kemudian serah kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Parti Amanah Negara (Amanah) di Duyong, di sini hari ini.

Mohamad berkata, beliau memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dengan menjawab segala soalan yang dikemukakan sepanjang proses berkenaan.

Ditanya mengenai tempoh memberikan keterangan, beliau berkata, proses itu tidak mengambil masa yang lama.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan keterangan Mohamad telah dirakam pada 16 September lalu.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pula dipanggil memberikan keterangan pada 15 September lalu.

Abd Halim dilaporkan berkata, keterangan kedua-dua individu berkenaan dirakam bagi membantu siasatan berhubung isu kelewatan bekalan baja kepada pesawah di Kedah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×