Senjata Israel dicuri untuk kegiatan jenayah - Utusan Malaysia

Senjata Israel dicuri untuk kegiatan jenayah

GAMBAR fail sebuah dron Israel. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Senjata dan peluru yang dicuri dari gudang tentera Israel ketika perang di Gaza dilaporkan sudah sampai ke tangan kumpulan jenayah, termasuk roket anti kereta kebal LAW.

Perkara itu dilaporkan penyiar awam Israel, KAN, yang memetik sumber sebagai berkata, pihak tentera mungkin tidak mengetahui jumlah sebenar senjata dan peluru yang hilang dari gudang sebelum diedarkan di luar kawalannya.

Dua kejadian membabitkan penggunaan roket LAW dilaporkan berlaku minggu ini di bandar Arab Sajur dan Jaljulia.

Menurut KAN, corak kejadian terbaharu serta penurunan harga senjata di pasaran gelap me­nunjukkan senjata berkenaan mungkin dicuri dalam jumlah besar selepas gudang unit kecemasan dibuka ketika perang.

Keadaan itu turut menyukarkan usaha pihak berkuasa mengesan jumlah sebenar senjata yang hilang.

Ini kerana peluru yang tidak ditemukan boleh direkodkan sebagai digunakan dalam pertempuran, sekali gus menyebabkan jumlah senjata dicuri sukar dikenal pasti.

Menurut laporan KAN, pe­ningkatan ketara penggunaan dron dan senjata berkelas tentera dalam kegiatan jenayah.

Ia melaporkan, jumlah kejadian jenayah membabitkan bom tangan meningkat daripada 75 kes pada 2023 kepada 988 kes pada 2024, iaitu hampir tiga kes sehari.

Semenmtara itu, di Nazareth pula, sebuah bom tangan dilaporkan dijatuhkan dari dron minggu ini.

Dalam pada itu, siasatan Unit Lahav 433 polis Israel mendapati beberapa syarikat dalam komuniti Badwi membeli ratusan dron bersaiz besar yang mampu membawa muatan menggunakan invois palsu, menurut laporan itu.

Menurut laporan KAN, dron berkenaan masih belum ditemukan dan pihak berkuasa tidak mengetahui lokasi atau kegunaannya ketika ini. Menurut penyiar itu, pihak berkuasa mengesyaki sebahagian dron terbabit mungkin digunakan dalam operasi penyeludupan.

Polis Israel, tentera, agensi keselamatan Shin Bet dan ke­seluruhan badan keselamatan negara kini menilai skala ancaman yang ditimbulkan oleh penggunaan dron selain sedang membangunkan langkah untuk menanganinya, lapor KAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×