Pengguna domestik nikmati penjimatan bil elektrik RM47 sebulan

Pengguna domestik nikmati penjimatan bil elektrik RM47 sebulan

SHAMSUL AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka menikmati penjimatan sehingga RM47 sebulan atau hampir 13 peratus pada bil elektrik mulai September ini susulan pengecua­lian tiga caj berkaitan penggunaan elektrik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, pengecualian itu membabitkan caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus serta caj peruncitan RM10 bagi pengguna yang menggunakan elektrik sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan.

“Berdasarkan contoh bil yang diberikan, penjimatan berbeza mengikut jumlah penggunaan elektrik setiap pengguna, dengan perban­dingan bil sebelum dan selepas pelaksanaan perlindungan tambahan itu me­nunjukkan pengurangan bayaran bulanan.

“Sebagai contoh, pengguna dengan penggunaan sekitar 800kWj sebulan akan menik­mati pengurangan bil kira-kira RM47 bergantung kepada kadar dan komponen caj yang terpakai,” katanya kepada pemberita dalam Taklimat bersama media di Pusat Konvensyen Leo Maggie di sini semalam.

Menurut beliau, perlin­du­ngan tambahan itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Di­sember 2026.

Bagi penggunaan September, jumlah pengurangan caj akan dikreditkan dalam bil elektrik bulan Oktober.

Langkah berkenaan dijang­ka memberi manfaat kepada lebih lapan juta atau sehingga 90 peratus pengguna domestik TNB, termasuk hampir satu juta pengguna tambahan berban­ding aras perlindungan sebelum ini pada 600kWj sebulan.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memperluaskan perlindungan subsidi bil elekrik daripada 600 kilowatt jam (kWj) kepada 800kWj se­bulan, berkuat kuasa mulai September hingga 31 Disember ini.

Katanya, langkah itu diambil sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan hidup rak­yat ketika ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×