Cuaca panas, jerebu, cuti sekolah punca penggunaan elektrik tinggi

Cuaca panas, jerebu, cuti sekolah punca penggunaan elektrik tinggi

SARAVANAN THAMBIRAJAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cuaca panas, jerebu dan musim cuti sekolah antara faktor menyebabkan penggunaan elektrik isi rumah meningkat disebabkan orang ramai lebih banyak berada di rumah berbanding di luar.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. Saravanan Thambirajah berkata, peningkatan penggunaan elektrik dalam keadaan tersebut sukar dielakkan berikutan perubahan rutin harian isi rumah.

Katanya, keadaan cuaca panas menyebabkan orang ramai lebih bergantung kepada peralatan elektrik seperti penghawa dingin dan kipas bagi memastikan kediaman kekal selesa.

“Keadaan jerebu juga menyebabkan orang ramai lebih banyak menutup tingkap rumah dan bergantung kepada penapis udara, sekali gus meningkatkan lagi penggunaan elektrik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, situasi itu turut dipengaruhi musim cuti sekolah apabila lebih ramai anggota keluarga berada di rumah untuk tempoh yang lebih panjang berbanding hari persekolahan biasa.

Katanya, peningkatan tempoh berada di rumah menyebabkan penggunaan pelbagai peralatan elektrik turut bertambah, termasuk penghawa dingin, ki­pas dan peralatan elektronik lain.

“Justeru, peningkatan penggunaan dalam keadaan seperti cuaca panas, jerebu dan cuti sekolah tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai pembaziran kerana terdapat faktor keadaan yang mempengaruhi­nya,” katanya.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, FOMCA mengalu-alukan keputusan kerajaan meningkatkan paras perlindungan bil elektrik daripada 600 kilowatt-jam (kWh) kepada 800 kWh.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat pada masa yang sesuai dan memberi perlindungan lebih besar kepada isi rumah, terutama ketika penggunaan elektrik meningkat akibat keadaan cuaca dan faktor bermusim.

“FOMCA menghargai tindakan Kerajaan mendengar kebimbangan pengguna dan bertindak dengan pantas. Paras perlindungan ini tidak semestinya perlu kekal pada satu tahap tanpa mengambil kira keadaan semasa,” katanya.

Tambahnya, terdapat keperluan supaya paras berkenaan boleh dikaji semula berdasarkan keadaan tertentu seperti cuaca panas berpanjangan, kemarau, jerebu atau situasi lain yang menyebabkan perubahan ketara terhadap corak penggunaan elektrik isi rumah.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pengguna supaya terus mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap dan mengelakkan pembaziran yang tidak perlu.

“Matlamatnya bukan untuk menggalakkan penggunaan elektrik yang lebih tinggi, tetapi memastikan isi rumah tidak dikenakan beban secara tidak adil apabila penggunaan meningkat disebabkan keadaan di luar kawalan mereka,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan paras perlindungan kepada 800 kWh merupakan langkah positif yang dapat memberikan perlindungan lebih baik dan kelegaan segera kepada isi rumah di Malaysia. – utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×