‘Mana lebih bahaya, sakit-sakit badan atau jantung tersumbat?’ - Utusan Malaysia

‘Mana lebih bahaya, sakit-sakit badan atau jantung tersumbat?’

Ramai yang akhirnya terpaksa ‘menyerah diri’ ke hospital juga setelah terjebak dengan ‘ubat ajaib’ yang hanya mendatangkan kemudaratan. – MINGGUAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Mana lebih bahaya, sakit-sakit badan atau jantung tersumbat?”

Itu kata seorang doktor wanita kepada saya semasa saya datang untuk rutin tiga bulan sekali pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Puncanya dia berkata begitu – saya cuma mengadu ubat kolesterol membuatkan badan saya sakit-sakit dan bertanya kalau-kalau ada ubat lain yang tidak memberi kesan sakit-sakit sebegitu.

Maklumlah, kita ini semua aktif bekerja. Mana mahu sangat berkompromi dengan sakit sendi di sana-sini.

Sudahnya, selepas soalan itu dia memberi ‘ceramah kesihatan’ panjang lebar, walaupun saya sebenarnya hanya maksudkan vitamin atau ubat hospital yang lain.

Katanya, ramai sekarang yang percaya bulat-bulat ‘ubat ajaib’ yang dijual secara online.

Percaya dengan hanya makan ‘ubat’ itu selama tiga hari atau paling lama seminggu, orang tua yang sakit lutut sudah boleh berlari atau yang solat duduk sudah mampu solat berdiri.

Bayangkan, untuk ubat sapuan saja, katanya, ia kononnya boleh membuatkan sakit lutut terus hilang atau lutut jadi seperti orang muda!

Ada percaya dengan menitis ‘ubat mata ajaib’ pula, ia boleh menyembuhkan rabun, katarak, floaters dan macam-macam lagi penyakit mata.

Ada juga percaya dengan minum teh yang didakwa tumbuhan herba boleh menghilangkan kolesterol, kencing manis dan darah tinggi sekali gus.

“Akhirnya, mereka ini datang ke hospital juga untuk rawatan apabila ubat ajaib itu sudah ‘kacau’ buah pinggang, jantung atau mata makin melarat.

“Banyak kes yang dirawat di hospital ini macam itu. Bila tanya makan apa, dia tunjuk botol ubat yang dibeli. Rupa-rupanya ada bahan beracun,” cerita doktor itu.

Ada yang kena buat dialisis, degupan jantung laju dan lebih teruk jadi buta kerana percaya pada ubat ajaib yang entah dari mana sumbernya.

Saya angguk tanda setuju. Ya, betullah, kalau kita perhatikan di media sosial terutamanya di Facebook, yang ada testimoni dan komen-komen pengguna, rata-rata profil akaun tukang komen ‘dikunci’ atau banyak mengulas ubat-ubat tertentu dalam akaun mereka. Adakah mereka ini diupah?

Apabila ditanya pada ejen penjual semuanya ada kelulusan tetapi bila sudah dibeli ubat itu, tiada nombor pendaftaran Kementerian Kesihatan (KKM).

Kalau kita boleh terus percaya pada testimoni dan jawapan si penjual ubat serta suplemen yang diragui ada kelulusan pihak berkuasa dalam internet, sampai ke sudahlah kita membiarkan diri di temberang hidup-hidup tanpa ada kesedaran untuk selidik terlebih dahulu.

Jika dulu yang jual ubat sebegini hanya di kaki lima jalan. Sekarang mereka sudah maju, menjual secara online dan ada ramai wakil jualan.

Ramai pengguna, terutamanya warga emas menjadi sasaran mudah ubat haram kerana desakan mahu sembuh daripada penyakit kronik yang sinonim dengan usia tua.

Mengapa warga emas? Apabila sendi sakit, lutut berbunyi setiap kali mahu bangun, dan mata mula kabur, kehidupan harian tidak seperti dulu lagi dan selalunya mereka mahu cepat jadi seperti sedia kala.

Rawatan hospital pula memerlukan proses temu janji yang panjang dan disiplin makan ubat yang ketat manakala anak-anak yang ‘kurang sabar’ untuk menghantar dan menunggu ibu bapa ke hospital mahu orang tua mereka segera sembuh dengan ubat ajaib ini.

Di sinilah ubat ajaib mengambil kesempatan. Mereka menawarkan penyelesaian mudah, sebiji kapsul atau sebotol jus herba, sakit hilang dalam tempoh 24 jam! Bagi warga emas, ini seperti satu harapan dan rahmat. Bukankah ini menyedihkan? Memberikan harapan palsu pada ibu bapa?

Namun, apa yang mereka tidak tahu, keupayaan ubat tersebut menghilangkan sakit dengan pantas bukan kerana herba semula jadi, tetapi kerana racun berjadual yang dimasukkan secara haram

Pun begitu, KKM melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) kerap melakukan serbuan dalam membanteras penjualan ubat yang membahayakan ini.

Antaranya, Januari lalu menerusi serbuan ke atas 19 premis di Pulau Pinang, KKM berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan ubat tradisional Cina haram yang tidak berdaftar dan melanggar Akta Jualan Dadah 1952 serta Akta Racun 1952. Lebih 88,000 unit ubat haram disita dengan rampasan bernilai RM24 juta.

Sebelum itu, pada Oktober 2025 dalam operasi khas di Klang serbuan dilakukan ke atas dua stor haram dan empat premis jualan dengan menyita 402 jenis ubat tidak berdaftar yang dibawa masuk dari luar negara untuk jualan pasaran tempatan yang bernilai RM6 juta

Serbuan besar-besaran ke atas premis simpanan di Bandar Puteri Bangi dan Klang membongkar taktik sindiket yang menyimpan ubat tidak berdaftar dan steroid anabolik bernilai RM3 juta untuk pasaran e-dagang serta media sosial.

Angka-angka ini adalah penanda aras betapa besarnya jerat yang dipasang oleh penjual ubat temberang ini untuk menjebak mangsa yang mahu cepat sihat.

Menurut KKM, pengilang ubat haram ini lazimnya mencampurkan bahan steroid dan ubat tahan sakit sintetik (NSAID) ke dalam produk mereka tanpa kawalan.

Kesannya memang ‘magis’ pada beberapa hari pertama. Namun ‘harga’ yang perlu dibayar selepas itu amatlah mahal. Kita perlu sedar, sesuatu yang semula jadi tidak semestinya selamat jika ia diproses ‘di belakang rumah’ tanpa kawalan kualiti. Mengapa kita mahu mempertaruhkan baki usia yang ada dengan ubat yang tiada jaminan keselamatan?

Orang ramai juga diminta menyemak dahulu status pendaftaran produk melalui portal rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Pastikan ada hologram tulen dan nombor pendaftaran KKM (MAL) pada kotak.

Betullah cakap doktor itu. Biarlah badan kita lenguh sedikit melayan kesan sampingan ubat hospital yang terbukti selamat, daripada gembira hari ini, tetapi esok lusa terpaksa ‘menyerah diri’ dan disorong ke zon kecemasan. Akhirnya ke hospital jugalah.

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×