Tidak perlu kediaman agam untuk menampilkan gaya mewah, Alia Farhana Shahirah Rosly, 32, membuktikan ruang rumah teres yang sederhana juga mampu tampil elegan apabila setiap warna, kemasan, perabot dan pencahayaan dipilih dengan teliti.
Alia yang merupakan seorang guru memilih konsep mewah moden sebagai tema utama kediamannya, disesuaikan dengan bentuk serta keluasan rumah teres yang didiaminya.
Menurut Alia, konsep berkenaan dipilih kerana dia menggemari kediaman yang kelihatan eksklusif, kemas dan elegan, namun pada masa sama kekal mesra, selesa serta praktikal untuk kehidupan sekeluarga.
“Walaupun rumah teres tidak terlalu besar, pemilihan warna, bahan, pencahayaan dan susun atur yang sesuai mampu mewujudkan suasana mewah moden tanpa menjadikan ruang kelihatan sesak,” katanya kepada Seri.
Warna lembut, kemasan berkarakter
Inspirasi untuk menghias kediaman pula banyak diperoleh menerusi media sosial seperti TikTok dan Threads, khususnya perkongsian berkaitan penggunaan warna lembut, bahan yang kelihatan mewah, kemasan yang kemas serta pencahayaan menarik.
Namun, setiap idea yang ditemui tidak diterapkan secara bulat-bulat, sebaliknya disesuaikan dengan ruang dan keperluan kediamannya.
Bagi mewujudkan suasana yang lebih lapang, tenang dan elegan, Alia banyak menggunakan warna lembut dan tidak terlalu banyak mencampurkan corak atau warna dalam satu ruang.
Pemilihan bahan turut memainkan peranan penting apabila lantai Stone Plastic Composite (SPC), batu sinter, kemasan kayu dan kabinet berwarna lembut digunakan bagi membentuk kesinambungan antara ruang.
Kemasan dinding berpanel dan lengkungan turut digunakan untuk memberikan tekstur serta karakter, sekali gus mengelakkan kediaman kelihatan terlalu kosong walaupun menggunakan pendekatan yang ringkas.

Cantik dipandang, selesa didiami
Menurutnya, kemewahan tidak semestinya perlu diterjemahkan menerusi hiasan yang berlebihan kerana kemasan yang rapi, perincian yang teratur dan penggunaan bahan berkualiti sudah mampu menyerlahkan karakter tersebut.
Dalam pemilihan perabot dan aksesori pula, Alia lebih mengutamakan keseimbangan antara kecantikan dan kegunaan supaya kediaman bukan sekadar menarik untuk dipandang, malah selesa digunakan oleh keluarga.
Dia memilih beberapa perabot utama yang menjadi tumpuan berbanding memenuhi setiap sudut rumah dengan hiasan.
Cermin, unsur kayu dan aksesori berbentuk lembut turut digunakan bagi mewujudkan suasana yang lebih mesra dan tidak terlalu kaku.
Pencahayaan juga menjadi antara elemen penting dalam kediamannya apabila pencahayaan utama digabungkan dengan pencahayaan hiasan mengikut suasana yang diinginkan.
Dapur dan ruang tamu jadi tumpuan
Pada waktu siang, pencahayaan yang terang dan cahaya semula jadi membantu menyerlahkan ruang, manakala pencahayaan berwarna lebih hangat pada waktu malam memberikan suasana selesa dan sedikit eksklusif.
Ruang dapur dan ruang tamu menjadi bahagian yang paling diberikan perhatian kerana kedua-duanya kerap digunakan oleh keluarga.
Di dapur susunan kabinet, kaunter pulau, permukaan meja serta pemilihan bahan dirancang supaya ruang kelihatan kemas dan mewah, selain menyediakan ruang penyimpanan yang mencukupi serta mudah digunakan.
Ruang tamu pula mengetengahkan suasana selesa tetapi tetap elegan dengan kemasan dinding dan kabinet televisyen yang mempunyai perincian berbentuk lengkungan sebagai antara tarikan utama ruang berkenaan.

Berbelanja pada perkara yang penting
Keseluruhan pengubahsuaian dan hiasan utama kediaman itu menelan belanja hampir RM100,000, termasuk keperluan utama seperti kabinet, kemasan dapur, batu sinter dan penghawa dingin.
Bagi Alia, perbelanjaan untuk kediaman perlu dirancang dengan teliti dengan mengambil kira keperluan, kesesuaian ruang dan kegunaan dalam jangka panjang.
Justeru, dia lebih cenderung melabur pada perkara yang sukar diubah kemudian seperti kabinet, lantai dan permukaan meja, manakala aksesori kecil boleh ditukar mengikut perubahan cita rasa atau kecenderungan semasa.
Menurut Alia kediaman yang ideal bukan sekadar cantik dan mewah untuk dipandang, sebaliknya perlu selesa serta sesuai dengan kehidupan keluarga.











