IPOH: Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar tindakan segelintir pemimpin dalam kerajaan yang didakwa cuba mewujudkan gambaran seolah-olah keadaan politik negara tidak stabil.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kenyataan yang menggambarkan kerajaan tidak kukuh atau tidak stabil itu disifatkan sebagai kenyataan politik yang didorong kepentingan kelompok tertentu dalam parti masing-masing.
“Yang kita dengar ucapan-ucapan yang seolah-olah memberikan gambaran bahawa keadaan itu tidak stabil, tidak kukuh dan sebagainya. Itu adalah kenyataan-kenyataan politik biasa.
“Saya tidak nafikan ada percubaan kelompok tertentu yang memang sengaja untuk mewujudkan keadaan ketidakstabilan politik ini bagi memenuhi kepentingan dan kehendak kelompok pimpinan tertentu dalam parti mereka,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Peruntukan Perdana Menteri Kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak di Pejabat Penghulu Mukim Hulu Kinta, Tanjung Rambutan, di sini hari ini.
Kestabilan politik perlu menjadi keutamaan kerana ia menjadi asas kepada kestabilan ekonomi yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, kerajaan ketika ini kekal komited memastikan segala dasar dan perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan demi kepentingan dan manfaat rakyat secara keseluruhan.
“Kita boleh memberi jaminan kepada rakyat bahawa pemerintahan atau kerajaan hari ini komited untuk memastikan segala dasar dan perancangan dapat dilaksanakan demi kebaikan dan manfaat semua,” katanya.
Mengenai dakwaan serangan politik terhadap Perdana Menteri, Muhammad Kamil secara sinis berkata, terdapat pihak yang hanya lantang berbicara tetapi tidak menunjukkan tindakan.
“Setengah orang dia berani cakap saja, tapi dia tak berani buat. Itu kita kena nilai mana pemimpin yang bekerja dan mana yang sekadar bermain politik,” katanya.
Sementara itu, berhubung kenyataan berbeza berkaitan desakan Pilihan Raya Umum (PRU), beliau berkata perkara itu perlu dirujuk kepada pihak yang mengeluarkan kenyataan tersebut.
“Itu kena tanya orang itu. Pagi cakap lain, malam cakap lain. Pening agaknya,” katanya. – UTUSAN









