Inflasi Malaysia meningkat 1.9 peratus pada Ogos

Inflasi Malaysia meningkat 1.9 peratus pada Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inflasi Malaysia meningkat 1.9 peratus pada Ogos 2026 berbanding 1.8 peratus pada bulan sebelumnya dengan mata indeks mencatatkan 137.5 daripada 134.9 pada Ogos 2025.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) itu terutamanya didorong oleh kumpulan Pengangkutan yang meningkat 2.0 peratus berbanding 1.4 peratus pada Julai 2026.

“Kumpulan Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan turut meningkat 3.2 peratus berbanding 2.9 peratus pada bulan sebelumnya, diikuti Minuman Alkohol dan Tembakau sebanyak 2.8 peratus.

“Kedua-dua kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain serta Restoran dan Perkhidmatan Penginapan masing-masing meningkat 2.1 peratus berbanding 1.8 peratus dan 2.0 peratus pada Julai lalu.

“Sementara itu, kumpulan Makanan dan Minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 1.9 peratus berbanding 1.8 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut DOSM, peningkatan inflasi subkumpulan Elektrik, gas dan bahan api sebanyak 3.3 peratus didorong oleh pengemaskinian kadar Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) bagi penggunaan melebihi 600 kilowatt per jam (kWh) di Semenanjung Malaysia.

Bagi kumpulan Pengangkutan, lonjakan dipacu oleh subkumpulan Perkhidmatan pengangkutan awam yang meningkat 10.5 peratus serta Pengurusan peralatan pengangkutan persendirian sebanyak 1.8 peratus.

“Purata harga Petrol tanpa plumbum RON97 pada Ogos 2026 meningkat kepada RM4.28 seliter berbanding RM4.07 seliter pada Julai.

“Purata harga pasaran Diesel mencatatkan RM4.60 seliter berbanding harga subsidi RM2.10 seliter, manakala purata harga pasaran RON95 merekodkan RM3.75 seliter berbanding harga subsidi RM1.99 seliter,” katanya.

DOSM menambah, sembilan negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional antaranya Negeri Sembilan (2.5 peratus), Johor (2.3 peratus), Kedah (2.3 peratus), Pahang (2.3 peratus) serta Selangor dan Kuala Lumpur masing-masing 2.1 peratus.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, inflasi keseluruhan pada Ogos 2026 meningkat secara marginal 0.3 peratus berbanding 0.0 peratus pada Julai 2026. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×