Sekeping foto bukan sekadar gambar, apatah lagi apabila ia menyimpan kenangan tentang insan tersayang, hari istimewa atau momen yang tidak mungkin berulang.
Bagi Nurul Sairah Jaini, 28, kenangan yang tersimpan dalam foto boleh diabadikan dengan cara berbeza menerusi sulaman benang.
Wanita dari Sipitang, Sabah itu menggabungkan foto bercetak dengan sulaman tangan untuk menghasilkan gambar bersulam, menjadikan gambar biasa lebih unik dengan sentuhan warna, tekstur dan reka bentuk.
Menariknya, kebanyakan foto yang digunakannya ialah foto hitam putih sebelum dihiasi sulaman berwarna pada bahagian tertentu seperti tulisan, bunga, bentuk atau elemen di sekeliling gambar.
Hasilnya, sekeping foto bukan sahaja kelihatan berbeza, malah mempunyai sentuhan peribadi berdasarkan cerita dan kenangan yang terkandung di dalamnya.
Nurul Sairah berkata, dia mula berjinak-jinak dengan sulaman sejak tahun lalu selepas tertarik untuk mencuba seni kraftangan tersebut.
“Saya mula membeli barang-barang serta peralatan sulaman melalui Shopee. Kemudian, melalui Pinterest, saya mula melihat pelbagai hasil dan idea yang menarik.
“Dari situlah tercetus idea untuk saya mencuba menghasilkan gambar bersulam dengan menggabungkan gambar yang dicetak bersama sulaman,” katanya kepada Seri.
Bermula sebagai hobi, minatnya semakin berkembang apabila dia mula belajar memperbaiki teknik dan menghasilkan karya yang lebih kemas.

Minat berakar sejak kecil
Walaupun baru serius menghasilkan gambar bersulam sejak tahun lalu, minat Nurul Sairah terhadap seni sulaman sebenarnya sudah berakar sejak zaman kanak-kanak.
Sewaktu kecil, dia sering melihat ibunya mengisi masa lapang dengan menghasilkan cross stitch, termasuk sulaman berbentuk pemandangan, bunga-bungaan dan surah-surah pendek.
Pada ketika itu, aktiviti tersebut sekadar menjadi hobi ibunya yang diperhatikan dari dekat.
Namun, pengalaman itu akhirnya menjadi pencetus kepada minat Nurul Sairah untuk menceburi seni sulaman.
“Ibu adalah orang yang secara tidak langsung memperkenalkan saya kepada dunia sulaman dan menjadi inspirasi utama saya sehingga hari ini.
“Bila saya mula membuat sulaman sendiri, saya rasa ia seperti satu cara untuk meneruskan sesuatu yang pernah dekat dengan zaman kanak-kanak saya,” katanya.
Selain sulaman, Nurul Sairah turut pernah belajar membuat crochet secara sendiri menerusi YouTube sebelum mencuba pelbagai jenis kraftangan lain.
Gagal sekali, cuba lagi
Karya pertama Nurul Sairah mempunyai nilai sentimental apabila dia memilih foto anak dan suaminya sebagai percubaan awal untuk menghasilkan gambar bersulam.
Namun, hasil pertama itu tidak menjadi seperti yang diharapkan.
Daripada berhenti, dia mencuba sekali lagi menggunakan foto yang sama sebelum berjaya menghasilkan karya yang lebih baik.
“Karya pertama itu agak istimewa kerana ia bukan sahaja menjadi permulaan kepada gambar bersulam saya, tetapi juga mengajar saya untuk terus mencuba walaupun percubaan pertama tidak berjaya,” ujarnya.
Sejak itu, Nurul Sairah semakin yakin untuk mencuba reka bentuk dan teknik yang berbeza.

Bila foto mula bercerita
Menurut Nurul Sairah, keistimewaan gambar bersulam terletak pada gabungan foto yang sudah menyimpan cerita dengan sulaman tangan yang memberikan sentuhan peribadi.
Dia tidak menyulam keseluruhan foto, sebaliknya memilih bahagian tertentu yang dirasakan sesuai untuk diberikan sentuhan benang.
Ada foto yang dihiasi tulisan, quotes atau initial nama, manakala sesetengah bahagian lain ditambah dengan bunga, bentuk atau elemen di sekeliling gambar.
Pemilihan tulisan juga dibuat berdasarkan cerita di sebalik foto, bukannya sekadar untuk mencantikkan hasil akhir.
Tarikh, nama, panggilan istimewa atau ayat pendek yang mempunyai makna kepada pemilik foto antara perkara yang boleh dijadikan inspirasi.
“Saya cuba elakkan perkataan yang terlalu umum, sebaliknya pilih sesuatu yang boleh menggambarkan perasaan, kenangan atau hubungan antara individu dalam gambar.
“Bagi saya, tulisan itu bukan sekadar hiasan, tetapi sebahagian daripada cerita yang ingin disampaikan melalui gambar bersulam tersebut,” jelasnya.
Setiap foto yang diberikan pelanggan mempunyai cerita tersendiri, terutama gambar bersama pasangan, keluarga atau kenangan pada waktu tertentu.
Oleh kerana itu, sebelum mula menyulam, dia akan cuba memahami cerita di sebalik foto supaya sulaman yang ditambah bersesuaian dengan suasana dan maksud foto tersebut.
Kenangan pasangan dan keluarga jadi pilihan
Kebanyakan gambar bersulam yang dihasilkan Nurul Sairah mempunyai nilai sentimental, terutama foto bersama pasangan dan keluarga.
Ada pelanggan yang memberikan foto lama bersama pasangan atau keluarga kerana foto tersebut menyimpan kenangan istimewa buat mereka.
Baginya, perkara itu yang menjadikan gambar bersulam lebih bermakna kerana karya yang dihasilkan bukan sekadar untuk mencantikkan gambar.
“Biasanya gambar yang diberikan pelanggan memang ada cerita dan kenangan tersendiri. Jadi, saya cuba faham cerita itu sebelum menentukan sulaman yang sesuai,” katanya.
Selain itu, foto dengan latar belakang bergaya vintage dan lace turut menjadi antara pilihan ramai baru-baru ini kerana suasana klasik yang dihasilkan sesuai digabungkan dengan sulaman.
Di sebalik hasil yang kelihatan cantik, proses menghasilkan gambar bersulam memerlukan ketelitian sejak peringkat awal.
Ujarnya, cabaran paling besar ialah ketika membuat lubang pada gambar menggunakan alat penebuk sebelum proses menyulam.
Jarak antara setiap lubang perlu sesuai dan tidak terlalu rapat kerana kertas boleh mudah koyak.

Kesilapan ketika menyulam juga boleh menjejaskan hasil apabila tarikan benang yang terlalu kuat berisiko merosakkan kertas atau mengubah bentuk sulaman.
“Saya perlu memastikan jarak antara setiap lubang sesuai dan tidak terlalu rapat supaya kertas tidak mudah koyak.
“Bagi saya, cabaran utama ialah mencari keseimbangan antara jahitan yang kemas, menjaga gambar supaya tidak rosak dan pada masa sama memastikan hasil akhir nampak cantik,” ujarnya.
Untuk memastikan sulaman pada tulisan kelihatan kemas, dia akan merancang terlebih dahulu saiz tulisan, jarak setiap lubang dan jenis jahitan yang sesuai.
Dia juga memastikan ketegangan benang konsisten dan tidak menariknya terlalu kuat.
Sebuah karya biasanya mengambil masa antara dua hingga tiga hari untuk disiapkan.
Sumber rezeki
Selepas berkongsi hasil karyanya, Nurul Sairah mula menerima permintaan daripada individu yang mahu gambar mereka dijadikan gambar bersulam.
Antara tempahan yang diterima termasuk gambar ulang tahun perkahwinan dan pre-wedding.
Pada awalnya, dia menghasilkan karya sekadar sebagai hobi dan untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Namun, selepas beberapa kali mencuba dan melihat hasilnya semakin baik, dia mula yakin untuk menerima tempahan serta menjual hasil karyanya.
Keyakinan itu hadir apabila dia sendiri sudah berpuas hati dengan hasil kerja selain menerima maklum balas yang baik daripada orang sekeliling dan pelanggan.
Perkara paling menyeronokkan ialah melihat gambar biasa berubah sedikit demi sedikit menjadi karya yang lebih unik.
Dia turut berasa puas apabila melihat reaksi pelanggan menerima hasil gambar bersulam, terutama apabila foto yang digunakan mempunyai nilai sentimental.
Selain menghasilkan karya, aktiviti menyulam turut menjadi ruang untuk Nurul Sairah berehat dan menenangkan fikiran.
Menurutnya, proses menyulam memerlukan fokus dan ketelitian, sekali gus membolehkannya memberikan perhatian sepenuhnya kepada kerja yang sedang dilakukan.
Dalam tempoh itu, dia dapat seketika melupakan perkara lain sambil menikmati proses melihat sebuah karya terbentuk sedikit demi sedikit.
“Gambar bersulam memang membantu saya untuk lebih tenang dan menghilangkan stres.
“Walaupun memerlukan masa dan kesabaran, hasil akhirnya memberikan kepuasan kepada saya,” katanya.
Sokongan keluarga dan rakan-rakan turut menjadi pendorong untuknya terus berkarya, terutama suaminya yang banyak memberikan sokongan dan galakan sejak dia mula mencuba menghasilkan gambar bersulam.

Kongsi kemahiran melalui bengkel
Daripada sekadar menghasilkan karya sendiri dan menerima tempahan, Nurul Sairah kini mula berkongsi kemahirannya dengan orang lain menerusi bengkel.
Dia mula mengadakan bengkel pada Ogos lalu selepas mendapat tawaran daripada Jesselton Curio, sebuah ruang kreatif di Kampung Air, Kota Kinabalu yang menyediakan tempat untuk hasil kraftangan tempatan, cenderamata Sabah serta aktiviti seperti bengkel seni dan kraftangan.
Bengkel pertamanya mendapat sambutan yang baik, sekali gus memberikan pengalaman baharu kepadanya.
“Alhamdulillah, bengkel pertama saya mendapat sambutan yang baik dan saya sangat gembira dengan pengalaman tersebut.
“Selepas ini, saya bercadang untuk mengadakan lebih banyak bengkel, tetapi dengan aktiviti dan kraftangan yang berbeza pula,” katanya.











