Gelagat seekor kucing bernama Yoyo yang gemar memeluk barang mencuri perhatian ramai selepas video mengenainya tular di media sosial.
Di sebalik telatahnya yang mencuit hati, tersimpan kisah menarik apabila Yoyo sebenarnya mempunyai dua keluarga yang sama-sama menyayangi dan menjaganya.
Lebih menyentuh hati, Yoyo pada asalnya merupakan kucing terbiar yang ditemui di bawah sebuah flat sebelum akhirnya diterima untuk tinggal di dalam rumah.
Menurut penjaga kedua Yoyo, Shafa Yaacob, 30-an, dia pada mulanya berniat untuk menyelamatkan kucing itu selepas melihatnya di bawah flat kerana sememangnya gemar mengambil dan menjaga kucing terbiar.
Namun, usaha tersebut tidak kesampaian apabila Yoyo melarikan diri.
Tidak lama kemudian, Yoyo ditemukan oleh seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Adik Nor sebelum membawanya kepada Shafa untuk dimandikan selepas mendapat keizinan daripada ibunya untuk menjaga kucing berkenaan.
“Apabila saya tengok kucing itu, saya cakap, kucing ini saya dah pernah nak selamatkan, nak ambil tetapi ia lari.
“Tetapi saya tidak tahulah, rezeki ataupun kebetulan yang Allah aturkan. Kira Yoyo ini kembali kepada saya juga. Kami sama-sama menguruskan Yoyo,” katanya kepada Seri.
Berkongsi kasih sayang
Sebelum aktif di TikTok, Shafa bekerja sebagai groomer dan turut menjalankan perkhidmatan penjagaan kucing dari rumah sebagai sumber pendapatan sampingan.
Selain memandikan kucing, dia juga menjaga kucing yang sakit serta menyediakan perkhidmatan boarding atau hotel kucing.
Apabila Adik Nor membawa Yoyo kepadanya, Shafa bukan sahaja membantu memandikan dan membersihkan kucing itu, malah turut mengajar Adik Nor tentang cara menjaga Yoyo termasuk keperluan serta makanan yang sesuai.
Pada peringkat awal, Yoyo masih belum dibenarkan tinggal di dalam rumah kerana ibu Adik Nor belum memberikan keizinan.
Kucing itu hanya diletakkan di koridor, namun Yoyo beberapa kali mencuri masuk ke dalam rumah sebelum diangkat dan diletakkan di luar semula.

Keadaan itu berulang sehinggalah Yoyo melakukan sesuatu yang akhirnya membuatkan ibu Adik Nor berubah hati.
Yoyo masuk ke dalam tandas untuk membuang air kecil dan besar sebelum keluar serta mengelap kakinya.
Gelagat tersebut dilihat oleh ibu Adik Nor yang menganggap Yoyo seolah-olah cuba mengambil hati supaya dibenarkan tinggal di dalam rumah.
“Mak dia nampak dan cakap, kucing ini cuba ambil hati. Ia kencing dan berak di tandas,” katanya.
Selepas melihat gelagat itu, ibu Adik Nor akhirnya membuat keputusan untuk menerima Yoyo dan membenarkannya tinggal di dalam rumah.
Sebelum dibawa masuk, Yoyo terlebih dahulu dimandikan dan dibersihkan oleh Shafa sebelum dibawa pulang untuk memulakan kehidupan bersama keluarga tersebut.
Sudah biasa dibawa keluar
Sejak kecil, Yoyo sudah biasa dibawa keluar oleh Adik Nor dan sering didukung ketika menjalani pemeriksaan, bersiar-siar di taman di belakang rumah atau sekadar mengikuti aktiviti bersama keluarga.
Malah, ketika Adik Nor menaiki motosikal bersama bapanya, Yoyo turut dibawa bersama sehingga kucing itu tidak kekok berada di luar rumah.
Kebiasaan itu kemudiannya membawa kepada satu gelagat Yoyo yang tidak disangka-sangka mencuri perhatian ramai.
Pada suatu hari, ketika Adik Nor turun ke bawah flat untuk membeli makanan ringan, dia memberikan kek Apollo kepada Yoyo untuk dipegang.
Tanpa disangka, Yoyo terus memeluk kek tersebut sehingga gelagat tersebut menarik perhatian Shafa yang kemudiannya merakam video sekadar suka-suka.
Video itu akhirnya menjadi antara detik yang membuatkan gelagat Yoyo mula dikenali dan mendapat perhatian ramai di media sosial.
Suka peluk anak patung
Namun, gelagat Yoyo memeluk kek Apollo turut menyebabkan makanan itu sering rosak apabila ada yang cuba menariknya daripada pelukan Yoyo untuk melihat reaksi kucing berkenaan.
Melihat keadaan itu, Shafa terfikir untuk menggantikan makanan dengan anak patung yang boleh dipeluk oleh Yoyo tanpa menyebabkan pembaziran.
“Saya terfikir daripada kita bagi ia makanan, baik kita belikan anak patung. Sekurang-kurangnya kalau ada peminat dia datang nak jumpa, mereka boleh hadiahkan dia anak patung,” jelasnya.
Menurut Shafa, Yoyo sebenarnya tidak mempunyai anak patung khas atau memilih untuk dipeluk.

Sebaliknya, kucing itu akan menerima apa sahaja anak patung asalkan saiznya selesa untuk dipegang, tidak terlalu berat atau ringan serta tidak terlalu besar atau kecil.
“Asalkan saiznya selesa untuk dipegang, Yoyo akan memeluk. Ia tidak kisah apa pun, ia suka sahaja. Ia akan pegang dan peluk,” ujarnya.
Selain suka memeluk barang, Yoyo turut mempunyai perangai yang sering menghiburkan orang sekeliling.
Apabila anak patung yang sedang dipeluknya diambil, Yoyo akan menunjukkan reaksi seolah-olah merajuk dengan memalingkan muka.
Apabila disuruh meminta semula anak patung tersebut, Yoyo akan berpusing menghadap ke hadapan dan menghulurkan tangannya. Ia kemudian akan memeluknya semula.
“Ia akan merajuk dan pusing muka. Kita suruh ia minta balik, ia pusing depan. Kita cakap, minta balik anak patung. Ia akan menghulur tangan untuk memeluk semula,” katanya.
Nilai seekor kucing jalanan
Di sebalik gelagat Yoyo yang gemar memeluk anak patung, kisah kucing itu sebenarnya membawa makna yang lebih besar tentang kehidupan seekor kucing jalanan.
Yoyo yang asalnya hidup terbiar di bawah flat sejak kecil hanya bergantung kepada makanan yang diberikan orang, termasuk nasi basi dan apa sahaja makanan yang ada.
Kehidupannya berubah selepas ditemukan dan mendapat penjagaan serta kasih sayang daripada dua keluarga yang mengambil berat tentang kebajikannya.
Ujarnya, kisah Yoyo bukan sekadar mengenai gelagatnya yang gemar memeluk anak patung, sebaliknya mahu menunjukkan kucing jalanan juga mempunyai nilai dan berhak mendapat kehidupan yang lebih baik.
Daripada seekor kucing yang hidup terbiar di bawah flat, Yoyo kini mempunyai kehidupan yang lebih baik bersama keluarga yang menjaganya.
Gelagatnya yang gemar memeluk anak patung pula menjadi keunikan yang membuatkan ramai tertarik untuk mengenali kisahnya, sekaligus membuka mata bahawa setiap kucing, termasuk yang pernah hidup di jalanan, mempunyai nilai tersendiri.











