Tugas berat penyambung legasi Ahmad Daud, Saadiah - Utusan Malaysia

Tugas berat penyambung legasi Ahmad Daud, Saadiah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FAZLINA Ahmad Daud, 51, pernah dihimpit perasaan perasaan negatif terhadap diri sendiri kerana menggalas tanggungjawab sebagai penerus legasi yang ditinggalkan ibu bapanya iaitu seniman dan seniwati legenda Allahyarham Saadiah dan Datuk Ahmad Daud.

Pelbagai pandangan, perbandingan dan persepsi turut menghujani aktres ini lebih-lebih lagi apabila beliau bergelar adik kandung kepada primadona, Fauziah Ahmad Daud.

Namun, pemenang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Skrin 2016 ini membuktikan kepada pengkritik-pengkritiknya yang beliau bukan sekadar penerus legasi Ahmad Daud dan Saadiah, tetapi juga pelakon yang berdiri di atas platformnya yang tersendiri.

“Ketika awal pembabitan dalam dunia lakonan, terlalu banyak suara sumbang yang berlegar-legar di telinga saya hanya disebabkan ibu bapa dan kakak saya orang yang berpengaruh dalam industri seni. Pendek kata, masa itu ‘kabel’ saya terlalu besar.

“Jadi, muncullah pihak yang bukan sahaja membanding-bandingkan, malah mempersoalkan bakat yang saya warisi daripada ibu bapa dan kakak, setaraf atau lebih bagus?

“Perkara itu pernah membebankan dan memberi tekanan kepada saya satu masa dulu. Tetapi saya pekakkan sahaja telinga, teruskan kehidupan seperti biasa tanpa mendengar kata-kata negatif orang.

“Apa pun saya tidak pernah menidakkan yang saya masuk ke dalam dunia lakonan ini atas pertolongan kakak dan pada masa sama mewarisi bakat yang diturunkan keluarga. Saya bersyukur kerana menjadi anak seniman dan seniwati legenda serta kakak yang berpengaruh dalam dunia hiburan,” katanya.

Menyelak sejarah pembabitan dalam arena drama dan perfileman, Fazlina memaklumkan penglibatannya berlaku secara tidak sengaja apabila pada 1993, dia diheret kakaknya, Fauziah untuk membintangi telefilem Mat Gabra sebagai pelakon tambahan.

Namun, selepas melakonkan beberapa naskhah, dia mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari bidang tersebut susulan perkahwinannya dengan Nahar Ludhfi Datuk Johari dan kemudiannya menerima zuriat.

“Saya berhenti berlakon kerana pada saat itu saya hamil anak kembar. Saya terlalu seronok menjaga anak-anak, melihat mereka membesar di bawah pemantauan saya. Maka ketika itu saya merancang untuk meninggalkan dunia lakonan, terus menjadi suri rumah kerana terlalu gembira menjalankan tanggungjawab sebagai suri rumah tangga.

“Namun selepas 15 tahun, saya kembali berlakon. Semua ini atas pujukan rakan-rakan yang ketika itu bekerja dalam industri drama dan perfileman. Mereka sanggup pergi ke rumah saya semata-mata untuk meyakinkan saya untuk kembali berlakon dan rela dipotong gaji sekiranya lakonan saya tidak mencapai apa yang dimahukan pengarah.

“Mereka inilah yang sentiasa mempercayai bakat saya, justeru saya amat terhutang budi.

TERBIASA DIMARAHI PENGARAH

Jika ada yang berpandangan perjalanan Fazlina masuk semula ke dalam industri seni ini mudah, mereka sebenarnya silap. Banyak cabaran yang dilaluinya apatah lagi baru bermula selepas 15 tahun meninggalkan dunia lakonan.

“Dimarahi pengarah itu menjadi perkara biasa bagi saya. Ada yang menegur hanya disebabkan persembahan lakonan saya tidak mencapai apa yang mereka inginkan. Bergelar anak seniman dan seniwati terulung bukan tiket untuk bersenang lenang.

“Apabila terlalu banyak menerima tawaran (berlakon), lakonan kita menjadi ‘monotonous’. Saya percaya pengarah-pengarah ini sebenarnya nampak bakat yang ada dalam diri saya, justeru mereka ‘menggali’untuk mendapatkan persembahan yang mereka inginkan.

“Antara pengalaman yang saya tidak dapat lupakan apabila melakonkan watak Puan Raden dalam drama Anom Suraya. Pengarah Osman Ali berkali-kali merakam babak lakonan saya sehingga saya bertanya dengan baik, dia nak apa sebenarnya?

“Namun apabila dijelaskan tentang keseluruhan watak, saya faham dan berjaya berikan seperti apa yang dimahukannya. Saya bukan marah, jauh sekali penat kerana saya suka dengan apa yang saya lakukan,” ujarnya.

ANCAMAN BUNUH KERANA HALIJAH

Menerima pelbagai respons selepas menjayakan watak Halijah dalam drama Rindu Kasih arahan sutradara Pali Yahya, Fazlina tidak menyangka persembahannya dalam naskhah tersebut meninggalkan impak kepada penonton.

Dia dalam masa sama tidak menjangkakan kejahatan yang dipamerkan menerusi watak itu mengundang pelbagai ancaman daripada audiens.

“Watak Halijah ‘menjadi’ sehinggakan penonton tidak dapat membezakan diri saya yang sebenarnya dengan lakonan yang saya persembahkan. Akibatnya, saya menerima kecaman dan ancaman bunuh daripada penonton yang terbawa-bawa dengan watak tersebut.

“Saya pernah dimaki dan diludah ketika hendak mengisi petrol, dalam masa yang sama disindir orang awam ketika ingin menumpang surau untuk mendirikan solat.

“Dan yang paling dahsyat adalah ada penonton yang datang ke set penggambaran semata-mata mahu menyerang saya. Perkara itu berlaku luar jangkaan saya.

“Namun saya berkesempatan menerangkan kepada mereka yang bahawasanya apa yang mereka tonton itu hanyalah lakonan dan ianya tidak menggambarkan perilaku saya yang sebenar,” katanya.

Fazlina bagaimanapun gembira kerana watak yang dilakonkan itu membawa impak kepada penonton, menandakan persembahan lakonannya menjadi dan meninggalkan kesan kepada audiens.

PEMINAT INDONESIA

Penerimaan watak Kalsum dalam drama Bidaah yang ditayangkan di platform penstriman dalam talian, Viu turut melonjakkan nama Fazlina dan dalam masa yang sama, aktres ini turut menerima maklum balas yang cukup baik di Indonesia.

Perkara itu terbukti apabila ramai peminat dari negara seberang yang mengikuti pelakon ini setiap kali beliau menganjurkan sesi siaran langsung (live) di platform TikTok.

“Peminat Indonesia yang kebanyakannya daripada golongan gen z berpusu-pusu masuk sesi live saya apabila saya bersiaran langsung di platform berkenaan. Mereka ini mengkaji asal usul saya, mengenali arwah ibu dan ayah saya yang turut mencipta nama di sana.

“Nama saya turut disebut-sebut apabila saya bergandingan dengan Anna Jobling menerusi drama Yes! Captain Zul Aaryan yang juga popular di Indonesia. Anna cukup dikenali di Indonesia, justeru saya juga terkena sedikit tempiasnya,” katanya.

Fazlina memaklumkan peminat Indonesia turut mengetahui dan mengkaji latar belakang arwah bapanya, ‘mengorek’ kenangan lama yang mana tidak diketahuinya sebelum ini. Katanya kebanyakkan cerita terebut dikongsi semula semasa sesi live berkenaan.

“Arwah bapa saya dulu rupanya pernah bekerjasama, menyanyi dengan Hetty Koes Endang. Perkara ini dimaklumkan peminat muda yang melakukan banyak kajian tentang sejarah lampau saya.
“Itu perkara yang saya sendiri tidak pernah diberitahu oleh sesiapa pun,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×