APABILA membaca karya sastera yang berusia hampir 2,000 tahun, kita mungkin menyangka apa yang bakal kita temui ialah dunia yang sudah hilang.
Nama tempat mungkin asing dan cara hidup manusia sudah berubah. Tumbuhan dan haiwan pula mungkin hanya tinggal sebagai catatan dalam buku sejarah.
Namun, membaca karya klasik Tamil berjudul Kuruntokai dari Zaman Sastera Sangam membuatkan saya berfikir sebaliknya. Banyak haiwan yang muncul dalam puisi klasik itu masih berkeliaran di hutan Malaysia pada hari ini.
Karya Kuruntokai ialah salah sebuah daripada lapan buah kumpulan utama puisi Zaman Sangam iaitu dari abad ketiga sebelum masihi hingga abad ketiga masihi.
Antologi ini tergolong dalam puisi akam (dalaman) iaitu puisi Tamil klasik tentang dunia batin manusia, khususnya cinta, pertemuan, kerinduan, penantian dan perpisahan.
Terdapat 401 puisi yang lazimnya pendek, sekitar empat hingga lapan baris dan dikaitkan dengan lebih 200 orang penyair.
Dalam puisi ini, alam bukan latar belakang yang diletakkan di belakang manusia. Gunung, hutan, sungai, sawah, pantai, hujan, tumbuhan, burung dan mamalia menjadi sebahagian daripada bahasa emosi.
Bagi membantu menambah pemahaman, saya turut membaca buku The Treatment of Nature in Kuruntokai (2003) oleh Dr. S. Kumaran, bekas pensyarah saya di Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya.
Antara haiwan yang menarik perhatian saya ialah gajah. Dalam beberapa puisi, gajah bukan sekadar disebut sebagai ‘haiwan besar’. Kita melihatnya bergerak, makan, berpasangan, mengorek tanah untuk mencari air dan meredah kawasan hutan yang sukar.
Dalam Kuruntokai, gajah berbelalai panjang digambarkan merobohkan batang pokok untuk mendapatkan makanan bagi kumpulannya. Dalam puisi lain, jejak kaki gajah digambarkan menjadi tempat air bertakung.
Gambaran ini terasa sangat dekat dengan Malaysia. Gajah Asia (Elephas maximus) masih terdapat di Semenanjung Malaysia, termasuk di kawasan hutan besar.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) menyenaraikan gajah sebagai antara spesies utama yang diberi perhatian dalam program perlindungan hidupan liar.
Kemudian, ada juga harimau yang muncul dalam Kuruntokai sebagai pemangsa yang mengintai, menyerang dan membunuh mangsa. Dalam satu gambaran yang sangat realistik, harimau bertarung dengan gajah.
Dalam gambaran lain, harimau membunuh lembu atau haiwan buruan. Harimau bukan simbol kosong, sebaliknya mempunyai tubuh, naluri dan kelakuan.
Di Malaysia, kita masih ada harimau Malaya (Panthera tigris), walaupun data menunjukkannya semakin terancam. Sistem Informasi Biodiversiti Malaysia (MyBIS) menyenaraikan harimau Malaya sebagai spesies asli dan terancam kritikal, manakala dokumen Perhilitan menegaskan, populasi spesies ini memerlukan langkah pemuliharaan serius.
Rusa pula muncul dalam Kuruntokai dengan gambaran yang lebih lembut. Seekor rusa jantan bersama pasangannya, anak rusa yang menyusu atau rusa yang bermain dalam suasana hutan menjadi sebahagian daripada gambaran tentang penantian, rindu dan kehidupan berpasangan.
Pada pemerhatian saya, ada sesuatu yang menarik di sini iaitu penyair melihat hubungan antara haiwan dan kemudian menggunakannya untuk membantu manusia memahami hubungan sesama manusia.
Sekali lagi, Malaysia mempunyai kesinambungan yang jelas. Kijang (Muntiacus muntjak) dan rusa sambar (Rusa unicolor) ialah mamalia asli Malaysia.
Malah, MyBIS mencatatkan rusa dan babi hutan sebagai antara spesies mangsa yang berkaitan dengan ekologi harimau Malaya.
Babi hutan turut muncul dalam puisi klasik Zaman Sangam. Begitu juga monyet, beruang, kerbau dan pelbagai bentuk lembu liar serta ternakan. Dalam Kuruntokai, haiwan-haiwan ini tidak semuanya hadir dengan fungsi yang sama.
Ada haiwan menjadi mangsa dan ada yang menjadi pemangsa. Ada binatang bergerak bersama anak atau pasangan dan ada yang menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.
Ada haiwan yang hanya muncul pada beberapa baris tetapi meninggalkan gambaran yang kuat.
Antara keunikan yang saya fahami semasa menikmati Kuruntokai ialah hakikat penyair Zaman Sangam tidak menulis esei panjang tentang ‘pemuliharaan alam’. Mereka hanya menggambarkan seekor gajah mencari air, seekor harimau memburu atau seekor rusa bersama pasangan.
Pemerhatian yang tepat terhadap alam sudah cukup untuk menjadikan haiwan itu hidup dalam fikiran pembaca. Pada masa sama, ternyata Kuruntokai sangat dekat dengan Malaysia.
Kita ada gajah Asia, harimau Malaya, tapir Malaya, beruang matahari, seladang, rusa, kijang, babi hutan, primat dan banyak lagi mamalia. Inventori hidupan liar Malaysia merekodkan kepelbagaian mamalia yang sangat besar, namun sebahagian besar mamalia besar kita kini berdepan tekanan akibat kehilangan habitat dan aktiviti manusia.
HAIWAN KITA TERANCAM
Satu kajian akademik dalam Journal of Wildlife and Parks (2024) menyatakan, Malaysia mempunyai sekitar 306 spesies mamalia dan 10 daripada 12 mamalia besar di Semenanjung Malaysia berada dalam kategori terancam.
Maka, membaca Kuruntokai bagi saya bukan sekadar membaca puisi klasik Zaman Sangam. Sebaliknya, membaca cara manusia dahulu melihat dunia yang dikongsi bersama haiwan lain.
Jika hutan hilang, bukan sahaja seekor harimau kehilangan tempat berlindung. Kita juga kehilangan sebahagian daripada dunia yang pernah diperhatikan dan dirakam oleh penyair, beribu-ribu tahun dahulu.
Barangkali itu juga sebabnya karya klasik pelbagai bahasa perlu terus diterjemah dan dibaca.
Saya melihat Kuruntokai sebagai sebahagian daripada warisan kesusasteraan manusia.
Pembaca Melayu, Cina, India, Orang Asli dan semua rakyat Malaysia boleh menemui sesuatu di dalamnya. Apabila seekor gajah dalam puisi yang ditulis hampir 2,000 tahun dahulu masih ada ‘saudara’ di hutan Malaysia, kita sepatutnya berhenti seketika dan berfikir.
Barangkali apa yang perlu kita lindungi bukan sekadar haiwan itu. Kita juga perlu melindungi sebuah ingatan manusia sejagat tentang alam yang pernah ada dan kini sedang semakin hilang. –UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).











