PETALING JAYA: Solat jenazah ghaib tidak sepatutnya dilakukan terhadap individu Islam yang masih hilang selagi kematiannya belum disahkan atau diputuskan secara sah oleh pihak berautoriti.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, solat jenazah termasuk solat jenazah ghaib hanya berkaitan dengan individu yang telah diketahui atau disabitkan kematiannya.
Katanya, sangkaan bahawa seseorang itu berkemungkinan besar telah meninggal dunia masih belum memadai untuk membolehkan solat berkenaan dilaksanakan.
“Dalam isu orang Islam yang hilang, perlu dibezakan antara ‘tidak diketahui keadaannya’ dengan ‘telah sabit kematiannya’.
“Pada asasnya, tidak dilakukan solat jenazah ghaib terhadap seseorang yang masih berstatus hilang dan belum disahkan meninggal dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan, usaha mendapatkan kepastian mengenai status 55 rakyat Malaysia yang kekal masih belum dapat dihubungi susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal dan China terus dilaksanakan meskipun Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kembali dari Nepal, Isnin lalu.
Menurut Mohd. Sukki, individu yang hilang dan tidak diketahui sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia dibincangkan dalam fiqh menerusi konsep al-mafqud.
Beliau berkata, hukum asal menetapkan individu tersebut masih dianggap hidup selagi kematiannya belum disabitkan.
Katanya, hukum itu berasaskan prinsip istishab, iaitu mengekalkan hukum yang telah pasti sehingga terdapat bukti yang mengubahnya.
“Kehidupannya sebelum hilang adalah sesuatu yang yakin, sedangkan kematiannya masih berupa kemungkinan.
“Oleh itu, semata-mata hilang, terputus hubungan atau gagal dikesan tidak dengan sendirinya menjadikan individu itu telah meninggal dunia menurut hukum syarak,” katanya.
Jelas beliau, selagi status individu berkenaan belum dipastikan, umat Islam sangat digalakkan melakukan solat hajat dan berdoa memohon keselamatannya.
Katanya, doa juga boleh dipanjatkan bagi memohon kemudahan untuk operasi mencari dan menyelamat serta supaya individu berkenaan ditemukan.
“Ini lebih bertepatan dengan status hukum mereka ketika itu.
“Sekiranya kemudian kematian mereka disahkan atau diputuskan secara sah oleh pihak berautoriti, barulah solat jenazah atau solat jenazah ghaib boleh dilaksanakan berdasarkan keadaan masing-masing,” katanya.
Mohd. Sukki berkata, tahap kebarangkalian kematian bagaimanapun boleh berbeza berdasarkan keadaan kehilangan seseorang.
“Orang yang hilang selepas bencana besar, peperangan, kapal karam atau kemalangan dahsyat tidak sama dari sudut qarinah dengan seseorang yang sekadar tidak dapat dihubungi.
“Qarinah yang sangat kuat boleh menjadi sebahagian daripada pertimbangan pihak berautoriti untuk mensabitkan kematian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tiada tempoh tertentu yang boleh ditetapkan sebagai hukum mutlak sebelum seseorang yang hilang dianggap telah meninggal dunia.
Katanya, tempoh dan proses itu bergantung kepada jenis kes, petunjuk yang ada, hasil siasatan serta keputusan pihak berautoriti.
“Tidak tepat menetapkan satu angka tertentu sebagai hukum mutlak untuk semua kes, seperti mengatakan bahawa setiap orang hilang mesti menunggu empat tahun sebelum boleh dianggap meninggal dunia.
“Pendekatan syarak dalam perkara ini sangat berhati-hati kerana ia melibatkan nyawa, perkahwinan dan hak harta seseorang,” katanya. – UTUSAN










