PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mendominasi penerimaan rakyat sebagai calon paling sesuai untuk memimpin negara, namun kemunculan beberapa tokoh baharu menunjukkan landskap calon perdana menteri semakin terbuka.
Kajian Malaysia Prime Minister Candidate Study 2026 oleh Vodus Research mendapati Anwar merekodkan tahap penerimaan tertinggi iaitu 46 peratus, selain dipilih sebagai pilihan utama oleh 34 peratus daripada 1,482 responden.
Kajian yang dijalankan terhadap rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas itu berlangsung dari 18 Ogos hingga 1 September lalu.
Anwar turut menjadi tokoh paling dikenali dalam kajian berkenaan apabila 93 peratus responden menyatakan mereka mengenalinya.
“Beliau juga tokoh paling dikenali, dengan 93% responden mengetahui mengenainya,” kata Vodus Research dalam kenyataan hari ini.
Menariknya, sokongan terhadap Perdana Menteri menunjukkan perbezaan ketara mengikut wilayah apabila 41 peratus responden di Malaysia Timur memilih Anwar sebagai pilihan utama berbanding 28 peratus di Semenanjung.
Menurut Vodus Research, corak sokongan itu mungkin dipengaruhi tumpuan pentadbiran Anwar terhadap Sabah dan Sarawak, khususnya berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak hasil Sabah serta kuasa Sarawak terhadap sumber negeri.
Dalam pada itu, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin muncul sebagai antara alternatif yang mendapat perhatian, khususnya berdasarkan penilaian terhadap imej peribadi.
Khairy merekodkan tahap penerimaan sebanyak 32 peratus, dengan responden yang menyokongnya mengaitkan kepimpinan yang kuat dan berkebolehan, visi jelas untuk negara serta kebolehpercayaan sebagai antara ciri utamanya.
Selain Khairy, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut mula menonjol dalam penilaian terhadap pemimpin yang berpotensi di peringkat nasional.
Kajian itu merekodkan tahap penerimaan Onn Hafiz sebanyak 17 peratus, manakala 42 peratus responden mengakui mengenalinya, menunjukkan profil beliau di peringkat nasional masih dalam proses berkembang.
Vodus Research berkata, sokongan terhadap Onn Hafiz banyak dikaitkan dengan keyakinan terhadap kepimpinannya, kebolehpercayaan serta keupayaan memacu pertumbuhan ekonomi.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar turut mendapat penilaian positif, terutama dalam aspek integriti, tadbir urus baik dan keupayaan menggerakkan ekonomi.
Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula terus dikaitkan dengan agenda reformasi institusi dan usaha memerangi rasuah, namun kadar penolakan terhadap beliau yang direkodkan sebanyak 20 peratus turut memberi kesan kepada tahap penerimaan keseluruhan.
Pengasas Vodus Research, Kelvin Goh berkata, persepsi rakyat terhadap calon perdana menteri tidak boleh dilihat semata-mata berdasarkan populariti kerana setiap tokoh mempunyai kekuatan dalam dimensi yang berbeza.










