PETALING JAYA: Amaran ‘potensi bahaya’ yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi di Mekah, Jeddah dan Taif tidak memberi kesan signifikan terhadap operasi syarikat pengendali umrah tempatan.
Pengarah Safar Buddies, Muhammad Izani Abdullah berkata, operasi syarikat itu berjalan seperti biasa dan pihaknya belum menerima sebarang maklumat rasmi berkaitan perkembangan berkenaan.
“Operasi macam biasa. Kami tiada menerima apa-apa maklumat rasmi dan Wisma Putra juga setakat ini tiada sebarang kenyataan. Syarikat penerbangan juga beroperasi seperti biasa dan urusan pembelian tiket berjalan lancar.
“Benda itu berlaku (amaran bahaya), tetapi tidak memberi kesan signifikan kepada operasi kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kerajaan Arab Saudi pada Selasa mengeluarkan amaran ‘potensi bahaya’ di Mekah, Jeddah dan Taif di barat negara itu susulan serangan berterusan pejuang bersekutu Iran.
Menerusi amaran itu, penduduk digesa supaya bertenang, segera menuju ke tempat selamat terdekat serta menjauhkan diri daripada tingkap di dalam bangunan, balkoni atau kawasan terbuka.
Perkembangan itu berlaku ketika kumpulan Houthi yang disokong Iran menguasai sebahagian kawasan pantai Laut Merah di Yemen yang menghadap Bab al-Mandab sejak beberapa hari lalu.
Bab al-Mandab merupakan antara laluan perkapalan paling penting dunia dan kedudukannya memberi Houthi keupayaan mengancam penghantaran minyak Arab Saudi yang kini dialihkan dari Selat Hormuz.
Muhammad Izani berkata, jemaah umrah yang bakal berlepas pada 1 Oktober ini juga tidak menunjukkan kebimbangan berhubung perkembangan tersebut.
“Jemaah umrah saya yang terdekat pada 1 Oktober. Jemaah tiada tanya apa-apa, masih okey sahaja lagi. Berita yang keluar itu sekadar peringatan.
“Saya sentiasa memantau sebarang kenyataan rasmi Wisma Putra, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menerusi Facebook rasmi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif UHB Travel & Tours, Nik Mohamed Ghazali Adib berkata, jemaah di bawah kendalian syarikatnya yang sedang menunaikan ibadah umrah berada dalam keadaan baik.
Beliau berkata, segala aspek keselamatan pengendalian jemaah sentiasa menjadi keutamaan kerana dirinya sendiri sudah berpengalaman menguruskan operasi umrah sejak 2016.
“Jemaah yang sedang menunaikan umrah di Mekah kini berada dalam keadaan baik, tiada panik apa-apa. Setakat ini, ada seramai 10 orang yang merupakan kumpulan jemaah yang diuruskan secara persendirian,” katanya.
Bagi Nur Izzatul Aini Mohd Hata, 39, yang sudah 13 tahun bekerja sebagai jururawat di Arab Saudi, kehidupan seharian berjalan seperti biasa susulan amaran berkenaan.
“Alhamdulillah, keadaan sekarang setakat ini masih berjalan seperti biasa. Tiada apa-apa yang perlu dirisaukan,” katanya.
Pendakwah selebriti, Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan turut memberi jaminan keadaan di Mekah Al-Mukarramah berada dalam situasi baik dan ibadah umrah jemaah berjalan seperti biasa susulan insiden serangan udara yang dipintas pihak berkuasa Arab Saudi.
Katanya, sejak petang semalam (pada Selasa), beliau menerima banyak mesej dan pertanyaan menerusi WhatsApp daripada orang ramai yang bimbang mengenai keadaan di Tanah Suci.
“Bertubi-tubi WhatsApp ataupun mesej yang sampai kepada saya bertanya keadaan di Mekah Al-Mukarramah, Kalau boleh lihat sekarang, semua jemaah umrah masih lagi melakukan umrah dan ibadah seperti biasa.
“Yang pertama, memang berlaku serangan udara. Yang kedua, pada awalnya tidak dapat dipastikan sama ada ia membabitkan dron, peluru berpandu atau misil berdasarkan maklumat yang diterima ketika itu,” katanya menerusi satu perkongsian video di Instagram.
Rahmat turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyentuh sebarang serpihan atau objek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden berkenaan sekiranya menemuinya.
“Kerajaan Saudi menerusi Kementerian Pertahanan meminta sekiranya kita bertemu dengan sisa ataupun hasil daripada pertempuran, jangan disentuh perkara itu.
“Kadang-kadang kita teruja apabila nampak serpihan, tetapi jangan sentuh. Apa pun, semuanya baik-baik dan ibadah masih berjalan lancar, Alhamdulillah,” katanya.-UTUSAN










