Israel tawar diri masuk 'gelanggang' lawan Houthi

Israel tawar diri masuk ‘gelanggang’ lawan Houthi

BEBERAPA anggota Houthi berarak semasa perhimpunan untuk merekrut lebih ramai pejuang di Sanaa.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Belum selesai konflik di Lubnan dan ketika serangan terhadap Gaza masih berterusan, Israel kini mahu membuka ‘gelanggang’ baharu dengan menawarkan khidmat ketenteraannya bagi menentang kumpulan Houthi di Yemen. 

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menawarkan ‘khidmat tenteranya’ kepada negara-negara di Semenanjung Arab serta menyatakan kesediaan menyertai perang menyeluruh menentang kumpulan disokong Iran itu.

Menurut media Lubnan, Al-Akhbar, Netanyahu sedang mendesak pihak keselamatan dan tentera Israel membuat persiapan bagi kemungkinan tindakan terhadap Iran dan Hizbullah.

Cadangan penglibatan Israel itu dikatakan sebahagian daripada usaha serantau meluas bagi menangani ancaman Houthi terhadap perkapalan di Laut Merah dan Bab al-Mandab, antara laluan maritim utama dunia, menurut media Israel.

Penguasaan Houthi ke atas Mocha serta kedudukan kumpulan itu yang semakin kukuh di sepanjang pantai barat Yemen kini menjadi kebimbangan yang semakin meningkat bagi Israel, menurut laporan Al-Akhbar.

Laporan itu menyebut penilaian Israel menunjukkan penguasaan Houthi di pantai Yemen dan Bab al-Mandab boleh meningkatkan tekanan terhadap laluan perkapalan.

Keadaan itu juga dikhuatiri memberi tekanan tambahan kepada usaha perlindungan maritim yang diketuai Amerika Syarikat (AS) di rantau berkenaan.

Agensi perisikan Israel turut memantau rapat pergerakan Ansar Allah kerana bimbang penguasaan ke atas Mocha akan meningkatkan keupayaan kumpulan itu mempengaruhi kapal tangki yang memasuki Laut Merah, menurut laporan berkenaan.

Akhbar itu turut memetik penilaian Israel berhubung kemaraan Houthi mungkin memerlukan peningkatan aktiviti tentera laut Israel di sekitar Bab al-Mandab.

Penguasaan ke atas Mocha turut mengukuhkan kedudukan Houthi di sekitar laluan laut penting yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan Lautan Hindi.

Penyelidik Institut Kajian Keselamatan Negara, Yoel Guzansky, berkata tekanan serentak terhadap Arab Saudi daripada Iran, Houthi dan kumpulan  di Iraq boleh membuka ruang kepada kerjasama keselamatan Israel-Riyadh secara tenang.

Menurut laporan itu, kerjasama berkenaan boleh merangkumi perkongsian risikan, sistem amaran awal serta pertahanan daripada serangan peluru berpandu dan dron.

Israel Hayom melaporkan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, mendapatkan bantuan daripada negara-negara serantau dan membuat permintaan secara tidak langsung kepada Israel melalui Komando Pusat AS (CENTCOM).

Menurut laporan itu, Riyadh meminta bantuan bagi menghalang Houthi daripada menyekat laluan Bab al-Mandab.

Bagaimanapun, Israel dijangka tidak akan tergesa-gesa mengambil peranan ketenteraan secara langsung kerana bimbang Houthi akan kembali melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×