BATU PAHAT: MCA akui kerjasama politik antara parti-parti dalam negara tidak dapat dielak, tetapi perkara itu tidak seharusnya mengetepikan prinsip dan kepentingan mana-mana parti komponen di dalam Barisan Nasional (BN).
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kerjasama sedemikian wajar susulan tiada mana-mana gabungan parti politik tunggal yang mempunyai jumlah kerusi mencukupi untuk mentadbir negara bersendirian.
“Mengadakan kerjasama ketika berdepan pilihan raya telah menjadi realiti politik yang tidak dapat dielak. Bagaimanapun, sebarang bentuk kerjasama mesti berasaskan prinsip bersama dan konsensus. Jika tidak, tiada kerjasama yang mampu bertahan lama.
“Pada masa sama, UMNO juga perlu menilai dengan teliti mana-mana pihak yang mahu menjalin kerjasama dengan mereka. Ini kerana ada pihak berbaik dengan UMNO ketika mahu sokongan, tetapi menentang apabila UMNO mempertahankan prinsipnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen MCA Negeri Johor di Dewan Persatuan Memperbaiki Akhlak Che Ann Khor, Yong Peng, di sini hari ini.
Sementara itu, Ka Siong turut memberitahu strategi meminjamkan kerusi kepada rakan parti komponen gabungan sama dalam pilihan raya bukan perkara baharu, sebaliknya telah lama dipraktikkan termasuk dalam BN.
Bagaimana katanya, strategi itu perlu mengambil kira peluang kemenangan dan hanya boleh diputuskan presiden-presiden parti komponen melalui perbincangan secara bersama.
“Beberapa kerusi seperti Cameron Highland di Pahang dan Duyung di Melaka merupakan kerusi yang dipinjam daripada MCA. Hasilnya ia mendapat sokongan pengundi malah sukar untuk dikalahkan lawan.
“Jadi, jika kawasan itu benar-benar tidak mempunyai calon berkebolehan untuk memenangi pilihan raya manakala penggantinya mempunyai peluang besar untuk menang, ia tidak salah untuk diberi pinjaman.
“Tetapi ini bukan bermakna MCA terbuka untuk menjual atau meminjamkan kerusi tradisi, sebaliknya bergantung kepada keadaan di sesuatu kawasan dan diputuskan melalui perbincangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang UMNO Bahagian Kluang untuk meminjam kerusi MCA bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Tambah bekas Menteri Pengangkutan itu lagi, hasrat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa PRU16 diadakan lebih awal merupakan satu perkara yang realistik.
“Cadangan menyegerakan pilihan raya adalah satu perkara lazim yang berlaku di negara ini, jarang ada yang tunggu hingga habis atau hampir habis penggal. Daripada 15 PRU yang telah diadakan, hanya sekali ia diadakan selepas lima tahun manakala selebihnya diadakan selepas tiga atau empat tahun,” katanya.-UTUSAN










