Ahmad Zahid dicabar ulangi 'kata dua' dalam mesyuarat Kabinet

Ahmad Zahid dicabar ulangi ‘kata dua’ dalam mesyuarat Kabinet

Amirudin Shari melancarkan buku Pedoman Buat Muda Mudi Muslim pada majlis perasmian Festival Buku Islami 2026 di Auditorium Masjid Putra, Putrajaya.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dicabar mengulangi ‘kata dua’ pendirian parti itu seperti dilaungkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2026) lalu dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang terdekat.

Gesaan itu dilontarkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Naib Presiden serta Pengarah Pilihan Raya PKR.

Amirudin berkata, buat masa ini, fokus Kerajaan Perpaduan adalah menyelesaikan isu ekonomi dan sebagainya.

“Itu (kata dua) mungkin kata-kata Datuk Seri Ahmad Zahid di depan perwakilan UMNOlah. Besok masa mesyuarat Kabinet, cakaplah dalam mesyuarat Kabinet kalau nak,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Festival Buku Islami (FBI) 2026 sempena Festival Turath Islami Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Ahmad Zahid pada sesi penggulungan PAU 2026 yang memberi kata dua iaitu mengadakan pilihan raya umum segera atau keluarkan BN daripada Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid sebelum ini mengemukakan dua pilihan sama ada mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dengan segera atau mengeluarkan Barisan Nasional (BN) daripada gabungan Kerajaan Perpaduan.

Beliau pada masa sama turut mencabar pihak berkenaan supaya memenuhi gesaan yang dibuat parti Melayu itu agar mandat dikembalikan kepada rakyat.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, setakat ini, tiada perkembangan baharu mengenai rundingan atau kerjasama antara PKR dan BN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Tiada. Kita tanya Datuk Rauf (Ketua Menteri Melaka, Datuk Rauf Yusof) sebab dia yang tentukan bila nak bubar. Selepas bubar nanti kita akan tengok macam mana,” katanya.

Amirudin sebelum ini dilaporkan berkata, PH telah bersedia dengan pelbagai senario termasuk kemungkinan bertanding tanpa kerjasama BN jika rundingan menjelang PRN Melaka gagal dimuktamadkan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×