PETALING JAYA: Agensi perhubungan awam (PR) dan penjenamaan sukan dari Malaysia, ShekhinahPR diberi tanggungjawab mengurus, menerajui dan melaksanakan program bola sepak inklusif Integrated Dreams di seluruh Asia menerusi kerjasama strategik dengan organisasi berpangkalan di Portugal itu sempena World Football Summit (WFS) Madrid 2026, semalam.
Kerjasama berkenaan membuka ruang lebih luas kepada golongan kurang upaya untuk terlibat dalam ekosistem bola sepak, meliputi aspek kepimpinan, pendidikan, pembangunan sukan dan pembinaan kapasiti.
Menerusi kerjasama itu, beberapa program dirancang untuk dilaksanakan pada 2027 di Malaysia, Thailand dan Indonesia dengan tumpuan menyediakan lebih banyak peluang kepada individu kurang upaya untuk mengambil bahagian serta memainkan peranan kepimpinan dalam industri sukan.
Inisiatif tersebut dibina berdasarkan kejayaan Football For All Leadership Programme (FFALP) yang dianjurkan Integrated Dreams di Kuala Lumpur pada 2025, yang menjadi edisi pertama program tersebut di Asia dan Oceania.
Program itu menghimpunkan 40 peserta kurang upaya dari seluruh rantau untuk mengikuti pembangunan kepimpinan, bola sepak kurang upaya serta latihan berkaitan industri sukan, selain mendapat sokongan FIFA Foundation.
Kerjasama ini turut menggabungkan pengalaman Integrated Dreams dalam membangunkan program bola sepak inklusif dengan kepakaran ShekhinahPR dalam komunikasi dan penjenamaan sukan bagi memperluaskan inisiatif itu di rantau Asia.
Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Datuk Christopher Raj berkata, peluang berkenaan membolehkan syarikat dari Malaysia itu memainkan peranan lebih besar dalam memperluaskan agenda keterangkuman dalam bola sepak di rantau ini.
“Bagi saya, ia merupakan satu penghormatan besar buat sebuah syarikat dari Malaysia untuk diberikan peluang menjalinkan kerjasama strategik dengan organisasi yang begitu dihormati dan berteraskan misi seperti Integrated Dreams.
“Kami tidak sabar untuk merealisasikan visi ini di Malaysia dan seluruh rantau ini. Bola sepak adalah untuk semua. Tiada siapa yang seharusnya ketinggalan.
“Tidak kira apa jua keupayaan seseorang, setiap individu harus diberikan peluang untuk merasai pengalaman dalam bola sepak, belajar, memimpin dan menyumbang,” kata Christopher.
Sementara itu, pengasas Integrated Dreams, Jose Soares berkata, kerjasama tersebut akan membantu organisasinya memperluaskan usaha di Asia dengan sokongan rakan tempatan yang mempunyai pengalaman dalam komunikasi dan industri sukan.
“Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan ShekhinahPR dalam usaha memperluaskan lagi kerja kami di seluruh Asia.
“Keterangkuman bukan sekadar memberikan akses kepada bola sepak; ia adalah mengenai mewujudkan peluang kepada individu kurang upaya untuk memimpin, menyumbang dan membina kerjaya dalam industri sukan.
“Kerjasama ini memberikan kami rakan tempatan yang kukuh untuk membantu merealisasikan visi tersebut melalui program yang bermakna dan menghasilkan impak jangka panjang,” ujarnya.-UTUSAN










