GEORGE TOWN : Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik, sebaliknya, perlu mengambil langkah berjaga-jaga berikutan kesemua empat stesen pemantauan kualiti udara di Pulau Pinang kini merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, dua daripada stesen tersebut iaitu di Minden dan Balik Pulau menunjukkan trend bacaan IPU tidak sihat dalam tempoh 24 jam manakala stesen Seberang Jaya dan Seberang Perai pula masing-masing menunjukkan peningkatan bacaan IPU daripada sederhana kepada tahap tidak sihat.
Justeru, beliau menasihatkan golongan yang mudah terdedah kepada kesan pencemaran udara seperti kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung serta individu yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan pernafasan agar mengurangkan aktiviti fizikal yang berat atau berpanjangan di kawasan terbuka.
“Orang ramai yang mengalami simptom seperti batuk, kesukaran bernafas, ketidakselesaan pada dada, sakit tekak atau iritasi mata pula dinasihat untuk mengurangkan pendedahan kepada udara luar dan mendapatkan nasihat serta rawatan daripada kemudahan kesihatan sekiranya keadaan berterusan atau bertambah serius,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, sehingga pukul 1 petang ini, bacaan yang direkodkan di keempat-empat stesen pemantauan kualiti udara di Pulau Pinang adalah antara 160 sehingga 167 iaitu kekal berada pada bacaan tidak sihat sejak pukul 5 petang semalam.
Sementara itu, Sundarajoo berkata, kerajaan negeri menerusi agensi-agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan kualiti udara secara berterusan dan berhubung dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mendapatkan maklumat serta penilaian terkini mengenai keadaan semasa.
Beliau berkata, dalam konteks kawalan pencemaran udara, JAS akan terus memberi perhatian terhadap sebarang aktiviti pembakaran terbuka dan kejadian kebakaran yang berpotensi menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara ketika ini.
“Pemantauan telah dipertingkatkan bagi mengurangkan pencemaran udara, manakala tindakan sewajarnya pula akan diambil mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa bagi meminimumkan kesan terhadap alam sekitar dan kesihatan awam,” katanya.
Tambah Sundarajoo, kerajaan negeri akan memaklumkan sebarang perkembangan penting khususnya berkaitan kualiti udara kepada orang ramai dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat dan penilaian daripada pihak berkuasa yang berkenaan.
Justeru, beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya kekal tenang, sentiasa peka terhadap perkembangan IPU dan mengutamakan kesihatan serta keselamatan diri dan keluarga sepanjang musim jerebu ini.-UTUSAN










