PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa memberi penjelasan kepada keluarga mendiang Yap Shing Xuen berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan seorang remaja lelaki atas alasan tidak siuman di sisi undang-undang.
Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching berkata, AGC dan pasukan pendakwaan perlu segera mengadakan taklimat rasmi bersama ibu bapa mangsa serta wakil undang-undang mereka berhubung keputusan berkenaan.
Katanya, keluarga mangsa perlu diberi penjelasan mengenai perbezaan daripada segi undang-undang antara pelepasan atas alasan tidak siuman di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan dengan pelepasan biasa.
“AGC mesti menjelaskan dengan terperinci sebab mahkamah mencapai keputusan berkenaan berdasarkan bukti perubatan serta maksud perintah tahanan psikiatri di bawah Seksyen 348 Kanun Tatacara Jenayah.
“Pihak pendakwaan juga perlu memaklumkan sama ada berhasrat memfailkan Notis Rayuan dalam tempoh statutori yang ditetapkan, iaitu 14 hari dari tarikh perintah, selain menjelaskan asas atau kekangan undang-undang untuk berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini melepaskan remaja berkenaan atas alasan tidak siuman di sisi undang-undang berhubung kematian tragis Yap Shing Xuen, 16, di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama.
Mahkamah turut memerintahkan remaja terbabit ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta.
Nie Ching berkata, walaupun proses kehakiman, penilaian pakar psikiatri dan pelaksanaan undang-undang jenayah perlu dihormati, keputusan pelepasan itu boleh menimbulkan kesedihan serta kekeliruan kepada keluarga mangsa.
Katanya, keadaan itu juga boleh menyebabkan keluarga berkenaan merasakan mereka masih belum memperoleh penutup sepenuhnya terhadap tragedi tersebut. – UTUSAN










