SHAH ALAM: Remaja perempuan yang menikam rakan sekelasnya dekat sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat akan dituduh di Mahkamah Telok Datok, esok.
Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam maklumannya berkata, pertuduhan akan dibuat esok pada pukul 8 pagi.
“Pertuduhan kes tikam pelajar. Pertuduhan akan dibuat pada 10 Julai (esok) pukul 8 pagi di Mahkamah Telok Datok,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, suspek remaja mendakwa menjadi mangsa buli kawan-kawannya termasuk seorang mangsa tikamannya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, dakwaan tersebut dinyatakan suspek perempuan berusia 15 tahun itu berdasarkan siasatan awal oleh pihaknya sepanjang suspek direman.
Katanya, bagaimanapun dapatan polis menerusi keterangan-keterangan diambil termasuk 10 nama pelajar dalam senarai yang tular dalam media sosial mendapati ia tidak menjurus kepada kejadian buli.
Isnin lalu, polis dilapor menahan seorang remaja perempuan tingkatan tiga selepas didakwa menikam rakan sekelasnya di sekolah berkenaan dalam kejadian antara pukul 9.30 hingga 10 pagi.
Remaja yang menghidap autisme itu kemudian dibenarkan ditahan reman selama empat hari sehingga esok oleh Mahkamah Majistret di Telok Datuk bagi membantu siasatan. – UTUSAN










