Pergerakan kuda bukan sekadar memberi pengalaman menunggang, sebaliknya boleh digunakan dalam hipoterapi untuk membantu kanak-kanak berkeperluan khas dari aspek pergerakan, keseimbangan, koordinasi dan pemprosesan sensori.
Hipoterapi memberi tumpuan kepada motor kasar (gross motor), khususnya bahagian teras atau batang tubuh, selain postur, keseimbangan, sensori, koordinasi, aspek mental serta tingkah laku sosial.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Green Apple Hippotherapy, Iliza Muhammed Ikhbal berkata, hipoterapi biasanya dijalankan oleh ahli terapi yang mempunyai kelayakan asas dalam bidang terapi cara kerja (occupational therapy), fisioterapi atau terapi pertuturan (speech therapy).

Menurutnya, antara perkara yang diberikan perhatian ialah masalah pemprosesan sensori dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas.
“Apabila pendawaian otak dia berbeza, dia tidak dapat mengintegrasikan apa yang diterima secara sensori daripada luar.
“Kalau banyak benda masuk seperti ramai orang bercakap, ramai orang melihat dan sebagainya, dia menjadi keliru. Apabila dia keliru, dia boleh menjadi frustrasi dan susah untuk belajar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam kehidupan seharian, manusia menerima pelbagai rangsangan pada satu-satu masa, termasuk rasa panas dan sejuk, hujan, cahaya, pendingin hawa, bunyi burung, percakapan serta bunyi dari dapur.
Namun, bagi sesetengah kanak-kanak berkeperluan khas, pelbagai rangsangan yang diterima serentak itu boleh menjadi sukar untuk diproses dan diintegrasikan oleh otak.
“Bila otak dia tidak boleh menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran, tingkah laku dia boleh menjadi tidak terkawal,” katanya.
Pergerakan kuda bantu regulasi
Iliza berkata, hipoterapi menggunakan pergerakan kuda untuk membantu proses integrasi dan regulasi otak.
Pergerakan kuda ketika berjalan mempunyai pola yang menyerupai pergerakan manusia sekaligus memberikan rangsangan pergerakan kepada kanak-kanak yang duduk di atasnya.
“Bila kita letakkan dia atas kuda, pergerakan kuda itu macam kita duduk atas satu alat yang bergerak.
“Cara kuda berjalan juga hampir sama dengan cara manusia berjalan. Jadi, ia memberikan pergerakan yang sesuai untuk membantu otak menjadi lebih tenang,” katanya.
Keadaan yang lebih tenang membantu kanak-kanak berasa lebih selesa, selain membantu mengurangkan anxiety dan meningkatkan fokus.

“Bila dia lebih tenang, dia rasa lebih selesa, anxiety berkurang dan fokus dia jadi lebih baik. Bila fokus lebih baik, dia boleh belajar dengan lebih efektif dan cepat,” jelasnya.
Pada masa sama, pergerakan kuda ketika berjalan mempunyai ritma empat kiraan, iaitu satu, dua, tiga dan empat.
Ritma serta tempo berkenaan membantu regulasi sistem kanak-kanak, selain memberikan rangsangan terhadap keseimbangan dan koordinasi.
“Bila badan dia sudah seimbang dan koordinasi lebih baik, badan dan otak mula bekerja bersama. Bila badan dan otak bekerja bersama, dia boleh memproses dan mengintegrasikan maklumat dengan lebih baik.
“Sebab itu kita boleh nampak dari segi tingkah laku, dia menjadi lebih tenang,” katanya.
Perubahan seawal sesi pertama
Tambahnya, sesetengah kanak-kanak menunjukkan perubahan selepas menjalani hipoterapi, malah terdapat yang memperlihatkan perbezaan seawal sesi pertama.
Antara perubahan yang dikongsikan ibu bapa ialah anak yang sebelum ini sentiasa bergerak di rumah mula boleh duduk dengan lebih tenang dan melakukan tugasan.
“Ada juga ibu bapa yang cerita, sebelum ini waktu makan ayah kena pegang anak supaya ibu boleh makan, kemudian mereka bertukar. Selepas terapi, anak itu boleh duduk bersama keluarga dan makan makanannya dengan tenang,” jelasnya.
Perubahan turut dilihat dalam suasana pembelajaran apabila terdapat kanak-kanak yang selepas satu atau dua sesi mula boleh duduk di dalam kelas dan menyiapkan tugasan.
“Guru dia kata dia boleh duduk lebih daripada setengah jam. Sebelum ini dia tidak boleh, asyik berpusing dan bergerak,” katanya.
Menurutnya, perubahan tertentu boleh dilihat dalam tempoh empat hingga enam minggu, manakala selepas enam sesi, peningkatan mungkin lebih jelas.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tidak semua kanak-kanak akan menunjukkan perubahan yang sama selepas menjalani satu sesi hipoterapi.
Tidak semua kanak-kanak sesuai
Sementara itu, Pakar kanak-kanak dan Pengasas Bersama Green Apple Hippotherapy, Dr. Ali Azman berkata, hipoterapi merupakan rawatan perubatan dan bukan sekadar aktiviti menunggang kuda.
Kanak-kanak yang ingin menjalani hipoterapi perlu dinilai oleh doktor terlebih dahulu bagi memastikan mereka sesuai untuk mengikuti terapi berkenaan.
“Diagnosis itu penting kerana kadang-kadang kita nampak macam autism, tetapi sebenarnya dia ada keadaan lain.
“Contohnya kalau dia ada osteogenesis imperfecta, tulang dia lemah. Kalau kita letakkan dia atas kuda, kita boleh memburukkan keadaan,” ujarnya.
Dr. Ali berkata, keadaan kesihatan tertentu, termasuk sesetengah masalah jantung dan penyakit jantung kongenital, juga perlu dinilai kerana hipoterapi menggunakan banyak tenaga. Alahan terhadap kuda turut perlu diambil kira.
Selain keadaan kesihatan, tingkah laku kanak-kanak juga perlu dinilai bagi memastikan keselamatan mereka dan kuda.
“Kalau kanak-kanak itu agresif, contohnya menendang atau memukul kuda, ia bahaya kepada dia dan kuda. Kuda merupakan haiwan yang sensitif dan boleh berubah tingkah laku kalau dia tidak selesa,” jelasnya.
Program dirancang secara individu
Selepas menjalani penilaian perubatan dan disahkan sesuai, kanak-kanak akan diserahkan kepada terapis sama ada dalam bidang terapi cara kerja atau fisioterapi.
Terapis akan mengenal pasti jurang perkembangan serta perkara yang perlu diberi tumpuan sebelum menyediakan program terapi yang bersesuaian.
Green Apple menggunakan pendekatan Hiker yang diambil dari Eropah dan Greece. Terapis mereka turut dihantar ke Greece untuk mendapatkan dan mempelajari program tersebut.
Pendekatan itu bermula dengan melihat potensi kanak-kanak dalam jangka panjang, termasuk membayangkan perkara yang boleh dicapai dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Daripada matlamat tersebut, pasukan terapi akan bekerja secara berundur (backwards) untuk mengenal pasti perkara yang diperlukan bagi mencapainya.

Matlamat jangka panjang kemudian dipecahkan kepada matlamat jangka pendek, matlamat terapeutik dan akhirnya pelan pembelajaran untuk setiap sesi.
“Setiap sesi ada tujuan. Kita tidak boleh buat satu program untuk semua orang sebab autism berbeza daripada seorang dengan seorang yang lain.
“Rawatan kita secara satu-satu, bukan satu program untuk empat atau lima orang,” katanya.
Ujarnya, program hipoterapi dijalankan sekurang-kurangnya selama satu tahun selepas kanak-kanak disahkan sesuai.
Penilaian awal, analisis dan perancangan perlu dilakukan sebelum program dijalankan, selain penilaian semula sepanjang tempoh tersebut.
Kekerapan terapi pula sekurang-kurangnya sekali seminggu dan boleh dilakukan sehingga dua kali seminggu.
Katanya, terapi tidak dilakukan lebih daripada dua kali seminggu kerana kanak-kanak boleh mengalami keletihan melampau (burnout).










