RUU Pendanaan Politik mesti sebelum PRU16

RUU Pendanaan Politik mesti sebelum PRU16

RANG Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik perlu diwujudkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) supaya semua pihak jelas tentang peraturan, tanggungjawab dan batas sumbangan politik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WANG dalam politik bukan suatu perkara yang boleh dihapuskan. Parti politik memerlukan dana untuk menjalankan operasi, menyampaikan dasar kepada rakyat dan bertanding dalam pilihan raya. Sementara calon perlu memerlukan sumber untuk berkempen dan mendekati pengundi. 

Masalah sebenar bermula apabila wang politik bergerak tanpa ketelusan. Apabila sumbernya tidak jelas, penggunaannya sukar di kesan dan pemberi dana mungkin mengharap habuan seperti akses, pengaruh atau layanan tertentu selepas pilihan raya.

Atas sebab itu, reformasi pendanaan politik tidak lagi boleh dianggap sebagai isu sampingan dalam agenda reformasi negara. Dana politik bergerak sepanjang kitaran politik dan bukan sahaja ketika musim pilihan raya dan boleh hadir dalam pelbagai bentuk dan manfaat lain. 

Namun Malaysia masih belum mempunyai satu undang-undang khusus yang mengawal selia secara komprehensif dan menyeluruh tentang penerimaan, penggunaan, pelaporan dan pendedahan dana politik.

Kekosongan ini membuka ruang kepada sumbangan tidak telus, konflik kepentingan dan penyalahgunaan pengaruh.

Dapatan Kajian Persepsi Awam Terhadap Cadangan Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik memperlihatkan rakyat melihat keperluan terhadap reformasi ini dengan serius. 

Kajian melibatkan 3,422 responden soal selidik, perbincangan kumpulan berfokus (FGD) di enam zon pemegang taruh seluruh Malaysia, temu bual separa berstruktur, kajian doktrinal, penandaarasan antarabangsa serta proses trangulasi bagi mengukuhkan dapatan. 

Antara dapatan paling jelas ialah 88.24 peratus responden menyokong keperluan mewujudkan undang-undang pendanaan politik. FGD dan temu bual turut menunjukkan penerimaan terhadap keperluan mengisi kekosongan perundangan sedia ada.

Justeru, perbahasan sepatutnya tidak lagi berkisar semata-mata kepada persoalan sama ada Malaysia memerlukan Akta Pendanaan Politik tetapi apakah bentuk undang- undang yang adil, praktikal, berkesan dan boleh dipercayai semua pihak? 

Akta ini tidak seharusnya menjadi instrumen untuk menyekat persaingan politik. Ia juga tidak boleh kelihatan seolah-olah diwujudkan bagi memberi kelebihan kepada mana-mana pihak. 

Kerangka tersebut mesti terpakai secara adil kepada kerajaan dan pembangkang, parti besar dan kecil, calon parti, calon bebas serta pihak ketiga yang terlibat dalam aktiviti politik.

Akta yang berkesan perlu menjawab beberapa persoalan asas. Siapakah yang boleh menderma? Adakan sumber tertentu perlu dilarang? Perlukan had sumbangan ditetapkan? Adakan dana mesti disalurkan melalui akaun rasmi? Siapakah yang bertanggunjawab terhadap rekod dan audit? Maklumat apakah wajib dilaporkan dan didedahkan kepada masyarakat? 

Kajian ini menilai isu tersebut melalui sembilan parameter meliputi keperluan akta, skop pemakaian, badan kawal selia, lembaga penasihat, sumber pendanaan, mekansime penerimaan, pelaporan, pendedahan kepada umum serta kesalahan dan hukuman.

Takrif ‘sumbangan’ juga perlu cukup luas. Dana politik tidak hanya datang dalam bentuk wang tunai tetapi boleh disalurkan melalui barangan, perkhidmatan, pinjaman dengan syarat istimewa,diskaun, tajaan atau pembayaran oleh pihak ketiga. 

Jika takrifnya terlalu sempit, undang-undang boleh dielakkan dengan mudah. Persoalan mengenai badan pengawal selia juga memerlukan perhatian. Kajian mendapati terdapat dua dapatan berbeza, pertama menwujudkan badan bebas yang baharu dan kedua memperkasakan institusi sedia ada seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) .

Yang penting daripada nama institusi ialah kebebasan, kewibawaan dan keupayaannya. Badan tersebut perlu mempunyai kepakaran, sumber yang mencukupi serta perlindungan daripada campur tangan politik. 

Fungsi asasnya boleh merangkumi semakan laporan,akses kepada data, audit, siasatan awal dan rujukan tindakan kepada agensi penguatkuasaan yang sesuai. Pelantikan secara telus, jaminan kebebasan institusi, sumber kewangan yang mencukupi serta pelaporan kepada Parlimen merupakan antara elemen penting untuk memastikan keyakinan rakyat.

Namun badan pengawal selia yang kuat juga perlu diawasi. Mekanisme semak dan imbang perlu di wujudkan supaya penguatkuasaan Akta tidak boleh digunakan secara terpilih. 

Pengawasan Parlimen, audit bebas, pelaporan awam, semakan kehakiman dan pemisahan sewajarnya antara fungsi pemantauan, penyiasatan dan pendakwaan boleh mengurangkan risiko penyalahgunaan kuasa. 

Kajian turut merekodkan sokongan terhadap lembaga penasihat sebagai satu bentuk semak dah imbang, walaupun terdapat kebimbangan mengenai birokrasi dan pertindihan fungsi. 

Sekiranya diwujudkan, peranannya wajar di hadkan kepada fungsi nasihat dengan pengisytiharan konflik kepentingan.

Ketelusan pula tidak boleh berhenti setakat penghantaran laporan kepada pihak berkuasa. Parti politik dan calon perlu mempunyai akaun rasmi dan rekod kewangan yang boleh diaudit. Maklumat penting mengenai sumbangan besar, perbelanjaan, akaun yang telah diaudit dan tindakan kawal selia juga wajar boleh diakses oleh rakyat, tertakluk perlindungan munasabah bagi privasi dan penderma kecil. 

Penguatkuasaan juga mesti berkadar. Kesalahan teknikal seperti kelewatan atau kekurangan maklumat tidak seharusnya disamakan dengan kesalahan substantif seperti menerima dana terlarang, menyembunyikan penderma, memalsukan rekod atau menyalahgunakan dana.

Kajian mencadangkan pendekatan hukuman secara berperingkat dengan notis pembetulan dan penalti pentadbiran bagi pelanggaran kecil serta hukuman lebih berat bagi salah laku serius. 

Paling penting, penguatkuasaan mesti konsisten dan tidak boleh dilihat sebagai senjata politik. 

 

BELAJAR DARI NEGARA LUAR

Malaysia juga boleh belajar daripada pengalaman Kanada, Jerman, New Zealand , Sweden, Korea Selatan dan Afrika Selatan. Walaupun tiada satu model yang sempurna, namum amalan baik memperlihatkan aspek-aspek penting seperti kepentingan takrif sumbangan yang luas, kawalan terhadap sumber berisiko, kawal selia yang bebas, audit berkala, pendedahan awam serta hukuman yang berkadar.

Persoalan akhirnya ialah tentang masa. Reformasi sewajarnya dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) supaya peraturan dapat diketahui sebelum persaingan politik semakin rancak. 

Parti memerlukan masa membangunkan sistem pematuhan. Calon perlu mengetahui tanggunjawab mereka. Badan pengawal selia perlu bersedia. Penderma pula perlu memahami sempadan yang dibenarkan.

Malaysia telah membincangkan reformasi ini sejak sekian lama. Kita tidak perlu menghapuskan wang dari politik kerana merupakan keperluan penting. Yang perlu dilakukan ialah memastikan ia tidak menjadi wang tersembunyi dan sumbangan politik tidak menjadi hutang yang tidak diketuai rakyat apabila kuasa awam digunakan. 

RUU Pendanaan Politik yang dirangka secara adil dan dilaksanakan secara konsisten boleh menjadi reformasi institusi terpenting dalam memperkukuh ketelusan, mencegah konflik kepentingan dan rasuah serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses demokrasi negara. –UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Zuraidah Ali ialah Ketua Penyelidik, Kajian Persepsi Awam Tentang Cadangan Penggubalan Rang Undang-Undang Pendanaan Politik dan Pensyarah, Jabatan Undang-Undang Sivil, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×