PETALING JAYA: Kelestarian kelab, tadbir urus dan profesionalisme menjadi antara agenda utama yang mahu dibawa Faliq Firdaus jika berjaya memenangi kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FC pada Kongres Pemilihan Luar Biasa FAM pada Khamis ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC (NSFC) itu berpandangan masa depan bola sepak Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada budaya perbelanjaan jangka pendek serta suntikan dana pemilik atau kerajaan semata-mata.
Sebaliknya, beliau mahu kelab profesional mempunyai asas kewangan yang lebih kukuh menerusi pembangunan sumber pendapatan dan perancangan jangka panjang supaya mampu bertahan serta berkembang secara mampan.
“Bola sepak Malaysia perlu beralih daripada budaya perbelanjaan jangka pendek kepada pengurusan kewangan yang lebih bertanggungjawab, pembangunan pendapatan dan perancangan jangka panjang.
“Kelab tidak boleh hanya bergantung kepada pemilik, kerajaan atau suntikan dana tahunan. Kita perlu membina ekosistem kelab yang lebih kukuh dan mampan,” katanya.
Menurut Faliq, kedudukan kelab profesional sebagai pihak yang menanggung sebahagian besar risiko kewangan dan operasi dalam saingan bola sepak domestik perlu diambil kira dalam setiap dasar yang dibuat oleh FAM.
Justeru, beliau mahu suara kelab diperkasakan dalam proses membuat keputusan FAM, khususnya membabitkan sebarang dasar yang memberi kesan secara langsung kepada operasi dan kelangsungan kelab.
“Sebarang dasar yang memberi kesan kepada kelab profesional perlu melalui konsultasi yang lebih tersusun kerana kelab menanggung sebahagian besar risiko kewangan dan operasi bola sepak profesional,” katanya.
Faliq turut berpandangan FAM perlu mengubah pendekatan pentadbiran daripada bersifat reaktif kepada lebih responsif dengan mengenal pasti sesuatu masalah lebih awal sebelum ia menjadi krisis.
Katanya, keputusan yang dibuat badan induk itu juga perlu bersandarkan kepada perancangan, data serta kepentingan jangka panjang bola sepak negara, selain komunikasi yang lebih berkesan bersama semua pemegang taruh.
“FAM perlu lebih proaktif dalam mengenal pasti masalah, berkomunikasi dengan pemegang taruh dan membuat keputusan berdasarkan perancangan, data serta kepentingan jangka panjang bola sepak negara. Kita perlu membina pentadbiran yang responsif, bukan reaktif,” katanya.
Dalam masa sama, Faliq menegaskan aspek tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti perlu diperkukuhkan bagi mengembalikan keyakinan kelab, penyokong serta industri terhadap pengurusan bola sepak negara.
Katanya, setiap keputusan penting perlu mempunyai alasan yang jelas, proses yang konsisten dan tahap akauntabiliti yang tinggi bagi memastikan semua pihak memahami asas sesuatu keputusan yang dibuat.
“Keputusan penting dalam bola sepak perlu mempunyai alasan yang jelas, proses yang konsisten dan tahap akauntabiliti yang tinggi supaya keyakinan kelab, penyokong dan industri dapat dipulihkan,” katanya.
Sebagai individu yang kini berada di barisan pengurusan tertinggi sebuah kelab Liga Super, Faliq melihat keperluan untuk FAM memahami realiti operasi yang dihadapi kelab secara lebih dekat, terutama berkaitan kewangan, komersial, infrastruktur, pembangunan pemain dan pengurusan penyokong.
Beliau mahu FAM memainkan peranan lebih besar dalam membantu kelab mencari sumber pendapatan baharu, memperkukuhkan aspek komersial, membangunkan infrastruktur serta fasiliti dan meningkatkan hubungan dengan penyokong.
Katanya, kelab yang mempunyai asas kewangan dan ekosistem yang kukuh bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan terhadap suntikan dana, malah dapat mewujudkan struktur pembangunan pemain yang lebih tersusun.
“FAM perlu membantu kelab membangunkan sumber pendapatan baharu, infrastruktur, pembangunan pemain, komersial, penyokong dan fasiliti. Matlamatnya adalah supaya kelab tidak hanya bergantung kepada pemilik, kerajaan atau suntikan dana tahunan,” katanya.
Dengan pengalaman mengurus NSFC, Faliq berharap perspektif daripada pengurusan kelab dapat dibawa ke meja Exco FAM sekiranya diberikan kepercayaan oleh perwakilan pada pemilihan Khamis ini.- UTUSAN










