Sanusi jumpa Mahdzir, Ahmad Bashah hari ini

Sanusi jumpa Mahdzir, Ahmad Bashah hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan satu pertemuan antara beliau dan kepimpinan UMNO Kedah akan diadakan hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, pertemuan tidak rasmi itu dijangka dihadiri Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

“Hari ini jumpa dengan UMNO Kedah, (perjumpaan) tak rasmi, minum kopi dan sembang-sembang. Dah depa mai kan, nak sembang apa saya pun belum tahu lagi tajuk dia.

“Bab kerusi semua Pas pusat, bukan negeri. Negeri tak ada prerogatif untuk menentukan kerusi. Kita di sini runding-runding, bawa pergi sana. Tak ada keputusan dibuat di sini, cuma kita boleh bincang.

“Lepas itu nak pertahankan kerusi itu di pusat, kita bagilah justifikasi kenapa kita nak kerusi ini. (Mungkin faktor) jentera ramai, ada calon, persiapan dibuat, kerja dah lama, kita pun penyandang tempat itu. Itulah benda-benda yang menjadi asas perundingan,” katanya selepas Program Kedah Young Leadership Development Programme 2026, hari ini.

Ahad lalu, Muhammad Sanusi mengesahkan telah mendapat persetujuan Pas Kedah untuk bertemu dengan Mahdzir dan Ahmad Bashah bagi meneroka kemungkinan kerjasama politik antara kedua-dua parti di negeri ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap UMNO dapat menerima cadangan agar rundingan kerusi diperluaskan melangkaui Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan mengambil kira kemungkinan pertukaran kerusi antara negeri lain pada masa hadapan.

Menurut Muhammad Sanusi, Melaka hanya akan menjadi medan ujian UMNO sekiranya parti itu terus bertanding di kesemua kerusi disandangnya.

“Melaka akan menjadi medan ujian untuk depa. Saya dah cadang hari itu, tak bolehlah tengok Melaka sebagai medan untuk nak runding dalam konteks itu saja, dalam kotak itu saja. Bukalah kotak bagi luas baru senang berunding,” katanya.

Tambahnya, jika UMNO mahu bertanding di negeri yang dikuasai Pas seperti Kedah, Kelantan, Terengganu atau Perlis, perkara sama perlu dipertimbangkan secara timbal balik di Melaka.

“Kalau esok depa nak mai sini, pergi Kelantan, Terengganu, tentulah depa pun nak kerusi. Jadi bukalah kerusi di Melaka, kalau hangpa bagi empat kerusi mungkin negeri-negeri ini boleh satu-satu bagi, ganti balik empat itu. Kedah satu, Kelantan satu, Terengganu satu, Perlis satu. Contohnya begitu, sekarang ini nak rundingan Melaka saja susahlah,” katanya.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa Pas mahukan pembahagian kerusi secara sama rata, sebaliknya perkara itu perlu melalui rundingan berdasarkan kekuatan serta peluang kemenangan setiap parti.

“Kerusi Melayu di Melaka yang jadi tempat parti-parti Melayu ada 24 kawasan DUN. Empat lagi itu mereka kata memang DAP punya, bolehlah lawan tetapi susah nak menang.  Tapi yang boleh menang ini 24 kawasan dan BN ada 21 kerusi maknanya tiga sajalah baki kerusi yang boleh dibuka untuk orang lain.

“Bolehlah (diterima) tapi kalau nak bahagi lebih banyak, kalau bagi lagi empat, bolehlah bincang. Itu saya kata bincang, saya nak cakap seorang-seorang saya seganlah. (Kita) bincanglah, runding. Bukanlah nak suruh bagi setengah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×