SUASANA dewan seakan-akan bertukar menjadi pentas teater apabila sekumpulan pelajar daripada SK Convent (1) Bukit Nanas penuh yakin, petah menyusun kata, kemas dalam penampilan serta bergaya menyampaikan setiap bait skrip menerusi persembahan choral speaking atau bicara berirama yang memukau perhatian.

Setiap patah perkataan dilontarkan dengan artikulasi yang jelas, sebutan tepat dan intonasi bertenaga, diselang-seli perubahan nada suara bersesuaian mesej persembahan.

Keseragaman suara dan tempo antara ahli kumpulan pula memperlihatkan latihan rapi serta keupayaan mereka menguasai pentas dengan penuh keyakinan.
Tidak hanya bergantung pada kekuatan suara, mimik muka dan gerak tubuh turut menjadi ‘senjata’ utama untuk menghidupkan persembahan.

Senyuman, kerutan dahi, pandangan mata serta ekspresi wajah yang berubah mengikut emosi menjadikan setiap babak lebih berkesan, sekali gus membuktikan choral speaking bukan sekadar persembahan berkumpulan, sebaliknya medan mencungkil bakat, kreativiti dan kemahiran komunikasi pelajar.
Kecederaan pada bahagian kaki sehingga terpaksa bertongkat tidak menghalang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Convent (1) Bukit Nanas, Abrielle Danya Leebarn Pragasam, 10, untuk turun ke pentas bersama pasukan choral speaking sekolahnya.
Malah, selepas hampir seminggu ditahan di wad hospital, semangatnya untuk bersama rakan sepasukan tidak pernah luntur, sekali gus membuktikan kecederaan bukan penghalang untuk memberikan persembahan terbaik.
Keberanian Abrielle dan rakan-rakannya melontarkan aksara Bahasa Inggeris dengan penuh yakin, sambil menggayakan gerak tubuh mengikut arahan konduktor, membuahkan hasil apabila sekolah itu muncul johan pertandingan choral speaking peringkat negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kejayaan itu melayakkan mereka berentap di peringkat kebangsaan pada Oktober ini.
Abrielle berkata, dia tidak mahu kesakitan yang dialaminya menjadi penghalang kepada pasukan sekolah untuk mencukupkan korum 20 peserta.
“Hampir seminggu saya tidak dapat menyertai latihan di sekolah akibat kecederaan di kaki. Saya tetap cakap pada guru, mahu menyertai choral speaking kerana tidak mahu menghampakan perasaan rakan sepasukan,” katanya.
Menariknya, sebahagian besar anggota pasukan berkenaan terdiri daripada murid tahun empat, sekali gus memperlihatkan wujudnya pelapis berbakat dalam bidang tersebut.
Choral speaking diselia dan dilatih oleh tiga guru berdedikasi iaitu Kannaghe Kalimuthu, Eswary Jayapalan dan Halimahtusaadiah Ghazali.

Menerusi tema perpaduan, persembahan bertajuk The Twig and The Bridge hasil karya guru sekolah itu berjaya menewaskan empat sekolah lain.
SK Bukit Bandaraya muncul naib johan, diikuti SK Bandar Baru Sentul di tempat ketiga, SK Convent Bukit Nanas 2 di tempat keempat dan SK Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) 1 di tempat kelima, selain meraih anugerah konduktor terbaik.
BICARA BERIRAMA TAMBAH KOLEKSI KEJAYAAN
Kejayaan itu turut dilengkapkan dengan satu lagi pencapaian apabila sekolah berkenaan dinobatkan sebagai johan bicara berirama selain membawa pulang anugerah konduktor terbaik.
Konduktor bicara berirama, Fia Mizaara Bakhtiar Effendy, 12, berkata, latihan berterusan menjadi antara faktor utama kejayaan pasukannya memberikan persembahan terbaik.
“Sejak bulan April, kami mengadakan latihan dan pada bulan lalu, latihan diadakan dari pagi sampai petang semasa sesi persekolahan.

baru-baru ini. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
“Alhamdulillah, rakan sepasukan memberikan kerjasama dan komitmen tanpa berbelah bahagi. “Persediaan ke peringkat kebangsaan kami mungkin akan melakukan sedikit perubahan pada aspek gaya dan skrip,” katanya.
Untuk rekod, pasukan berkenaan berjaya melayakkan diri ke peringkat kebangsaan pada tahun lalu, namun gagal meraih sebarang tempat teratas.

Fia Mizaara berkata, mereka kini berazam untuk memperbaiki pencapaian itu dengan menyasarkan tempat ketiga terbaik pada pertandingan peringkat kebangsaan nanti.
“Jika diikutkan, saya tidak menyangka kami mampu meraih gelaran juara kerana saingan sengit dari SK St. John 1. Hasil usaha konsisten membuahkan hasil,” katanya.
Mereka dilatih empat guru pembimbing iaitu Noor Marina Yunus, Nur Farah Sahira Ahmad Tarmizi, Adlina Farhah Ahmad Sabri dan Hasmida Hasballah.-UTUSAN
KEPUTUSAN
Choral Speaking
Johan
• Sekolah Rendah:
SK Convent (1)
Bukit Nanas
• Sekolah Menengah:
SMK Sungai Besi
Naib Johan
• Sekolah Rendah:
SK Bukit Bandaraya
• Sekolah Menengah:
SMK Convent Bukit Nanas
Bicara Berirama
Johan
• Sekolah Rendah:
SK Convent (1)
Bukit Nanas
• Sekolah Menengah:
SMK Zon R1 Wangsa Maju
Naib Johan
• Sekolah Rendah:
SK ST. JOHN 1
• Sekolah Menengah:
SMK Bangsar










