Pendidikan Melayu perlu berani berdiri lebih teguh

Pendidikan Melayu perlu berani berdiri lebih teguh

PENDIDIKAN Melayu tidak boleh berhenti pada soal kuota dan peluang tetapi diterjemahkan kepada ilmu, kemahiran dan kejayaan yang mampu menyumbang kepada kemajuan bangsa serta negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONVENSYEN Pendidikan Melayu 2026 hadir pada waktu yang tepat untuk kita merenung perjalanan pendidikan bangsa dan menentukan arah yang mahu dituju pada masa hadapan.

Saya tertarik dengan seruan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bahawa kelangsungan pendidikan Melayu pada masa hadapan, selain perihal kuota yang terus dikekalkan, persoalan lebih besar ialah  harus berani bergerak lebih jauh terutamanya dalam membina keupayaan untuk bersaing, mencipta, memimpin dan menyumbang kepada kemajuan bangsa dan negara.

Saya melihat kenyataan ini bukan sebagai penolakan terhadap dasar afirmatif yang telah banyak membuka peluang pendidikan kepada Melayu dan bumiputera. Dasar tersebut mempunyai sejarah, konteks dan peranannya tersendiri dalam usaha menangani ketidakseimbangan sosioekonomi.

Namun beliau mengangkat gagasan yang lebih besar dan mendasar, apakah yang harus kita capai dengan peluang yang telah diberikan kepada kita?

Kuota dan dasar afirmatif bukanlah matlamat akhir. Ia adalah antara instrumen untuk membuka pintu peluang. Selepas pintu itu terbuka, pendidikan mestilah membina manusia yang mampu berdiri teguh dengan ilmu, kemahiran, integriti dan keyakinan.

Kita juga harus memahami tidak semua anak Melayu bermula daripada kedudukan yang sama. Masih terdapat keluarga berpendapatan rendah, masyarakat luar bandar dan pedalaman serta pelajar yang berhadapan keterbatasan akses dan kemudahan pendidikan.

Justeru, membantu mereka bukan bererti merendahkan kemampuan mereka. Sebaliknya, itulah sebahagian daripada usaha memastikan setiap anak mempunyai peluang yang munasabah untuk mengembangkan potensi masing-masing.

Sebab itulah semangat Konvensyen Pendidikan Melayu perlu dibawa lebih jauh daripada sekadar membincangkan apa yang telah ada.

Kita perlu berani bertanya:

Berapa ramai anak Melayu yang mampu menjadi saintis dan penyelidik bertaraf dunia?

Berapa ramai yang mencipta teknologi, memiliki paten dan membangunkan syarikat sendiri?

Berapa ramai yang bukan sekadar mencari pekerjaan, tetapi mencipta pekerjaan untuk orang lain?

Berapa ramai yang mampu memimpin institusi, industri dan organisasi di peringkat antarabangsa?

Inilah cabaran sebenar pendidikan Melayu pada masa hadapan.

Zambry menegaskan generasi muda perlu menguasaiains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, keusahawanan dan bidang-bidang baharu yang akan menentukan masa depan dunia. 

Pada masa sama, anak-anak Melayu perlu mempunyai akar jati diri yang kukuh, menghargai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan peradaban serta menguasai bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain untuk berkomunikasi dengan dunia.

Kita tidak perlu memilih antara jati diri dengan kemajuan. Kita boleh memiliki kedua-duanya.

Lebih penting, usaha memperkukuh pendidikan Melayu tidak harus dilihat sebagai persaingan dengan mana-mana kaum. Malaysia akan menjadi lebih kuat apabila Melayu maju. Malaysia juga menjadi lebih kuat apabila Cina, India, Orang Asli, bumiputera Sabah dan Sarawak serta seluruh rakyatnya maju bersama.

Kejayaan pendidikan tidak sepatutnya menjadi permainan menang-kalah antara kaum. Ilmu yang berkembang akhirnya memberi manfaat kepada seluruh negara. Sebab itu keberanian yang diseru oleh Menteri Pendidikan Tinggi harus kita sambut dengan fikiran yang terbuka.

Berani berdiri lebih teguh bukan bermaksud menafikan sejarah atau meninggalkan mereka yang masih memerlukan bantuan. Ia bermaksud kita berani meningkatkan piawai terhadap diri sendiri.

Menjelang 100 tahun kemerdekaan negara pada tahun 2057, mudah-mudahan perbincangan pendidikan Melayu tidak lagi hanya berkisar tentang amalan semasa, sebaliknya berbicara tentang berapa banyak ilmu yang mereka hasilkan, teknologi yang mereka cipta, perusahaan yang mereka bangunkan dan manusia yang mereka bantu.

Dasar boleh membuka pintu. Peluang boleh menyediakan jalan tetapi ilmu, usaha dan keberanianlah yang menentukan sejauh mana kita mampu melangkah. –UTUSAN

 

PROFESOR Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff ialah Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor & Rektor Universiti Awam, merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×