JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tempatan yang berpura-pura menyemak dokumen sebelum menyamun dan mencederakan dua warga asing etnik Rohingya di Taman Perling di sini, bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, Khamis ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, keputusan itu dibuat selepas kertas siasatan kes berkenaan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor, hari ini.
“Suspek berusia 25 tahun itu akan berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat bagi setiap pertuduhan.
“Selain itu, suspek juga akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja mendatangkan cedera yang memperuntukkan hukuman penjara hingga satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ab. Rahaman dilaporkan memberitahu suspek telah ditahan pada pukul 5.40 petang, Jumaat lalu susulan dua laporan polis diterima daripada kedua-dua mangsa yang berusia 25 dan 35 tahun.
Menurut beliau, dalam kejadian pertama di Taman Perling, mangsa yang menunggang motosikal untuk mencari pelanggan memotong rumput ditahan suspek sebelum kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) serta mesin pemotong rumput miliknya dirampas.
“Kejadian kedua pula berlaku di kawasan berhampiran apabila suspek bertindak menahan seorang lagi warga asing dan meminta kad UNHCR, namun pertengkaran berlaku sehingga suspek bertindak menumbuk serta mengugut mangsa.
“Susulan penahanan suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau itu, polis merampas sebuah mesin pemotong rumput, kunci motosikal, sepasang pakaian, sebilah parang dan sekeping kad UNHCR,” katanya.-UTUSAN










