PUTRAJAYA: Kemegahan sesebuah mahkamah tidak menentukan kewibawaan institusi kehakiman, sebaliknya keperibadian dan tingkah laku mereka yang diamanahkan untuk menegakkan keadilan menjadi ukuran sebenar.
Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, barisan hakim terdahulu meninggalkan legasi berbeza yang terus membentuk kekuatan institusi kehakiman negara, termasuk aspek disiplin, pemulihan kepercayaan, keteguhan prinsip dan pembukaan ruang kepada wanita.
Katanya, sumbangan tiga bekas Ketua Hakim iaitu Allahyarham Tun Mohd Eusoff Chin, Allahyarham Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad dan bekas Hakim Besar Malaya, Allahyarhamah Tan Sri Siti Norma Yaakob menjadi legasi yang diwarisi serta diperkukuh oleh generasi kehakiman seterusnya.
“Sesebuah negara mungkin mempunyai mahkamah, ia mungkin mempunyai hakim. Ia mungkin mempunyai bangunan yang seindah Istana Keadilan ini. Bagaimanapun, semua itu tidak membuktikan apa-apa sama sekali.
“Sesebuah institusi hanya meraih kedudukannya melalui keperibadian dan tingkah laku mereka yang diamanahkan dengannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Memperingati Bekas-Bekas Ketua Hakim Negara dan Hakim Besar Malaya di Istana Kehakiman di sini.
Wan Ahmad Farid berkata, setiap daripada empat tokoh yang diraikan mewarisi institusi yang dibentuk pendahulu mereka, memperkukuhnya mengikut cara masing-masing sebelum menyerahkannya kepada pengganti.
Menurutnya, Mohd Eusoff memberikan disiplin kepada badan kehakiman, Dzaiddin berusaha memulihkan kepercayaan, Abdul Hamid meninggalkan pengajaran mengenai prinsip dan ketahanan diri, manakala Siti Norma membuka ruang kepada pembentukan barisan hakim daripada seluruh pelosok negara.
Dalam mengenang jasa setiap tokoh berkenaan, beliau berkata, Mohd Eusoff memegang jawatan Ketua Hakim Negara paling lama di negara ini, iaitu selama enam tahun 86 hari.
Katanya, Mohd Eusoff pernah dikritik ketika memperkenalkan sistem merakam waktu atau clock-in bagi hakim yang disifatkan seolah-olah melayan mereka seperti kanak-kanak.
“Namun Tun Eusoff tidak patah semangat. Apabila beliau mendapati mereka yang berada di luar Kuala Lumpur tidak mematuhi masa, beliau memanggil kediaman para hakim pada awal pagi dan memberitahu sesiapa yang menjawab bahawa sahabat baik hakim tersebut, Eusoff Chin berada di talian.
“Tiada lagi aktiviti bermain golf pada pukul 2 petang pada hari bekerja. Ia menunjukkan bahawa masa dalam kehakiman (judicial time) bukan milik para hakim tetapi pihak-pihak yang menunggu peluang di mahkamah,” katanya.
Wan Ahmad Farid berkata, pengganti Mohd Eusoff, Mohamed Dzaiddin, walaupun berkhidmat kurang daripada dua tahun tiga bulan sebagai Ketua Hakim Negara, tetap meninggalkan legasi besar dalam badan kehakiman.
Katanya, kerjaya Dzaiddin bermula sebagai wartawan akhbar Malay Mail sebelum menjadi inspektor polis dan kemudiannya mendalami bidang undang-undang sebelum menyertai kehakiman.
“Mungkin skop pengalaman yang luas itu menjelaskan bakat semula jadinya. Beliau memahami keadilan bukan sahaja daripada sudut pandangan hakim, tetapi juga menerusi kacamata masyarakat awam.
“Pada pandangan kerdil saya, Tun Dzaiddin mengajar badan kehakiman untuk kembali mendengar,” katanya.
Mengenai Abdul Hamid, Wan Ahmad Farid berkata, beliau memimpin badan kehakiman kurang daripada setahun, namun hasil kerjanya bertahan lama melampaui tempoh perkhidmatannya.
Katanya, Abdul Hamid menulis 567 penghakiman, lapan buku termasuk Hakim Bukan Parlimen serta lebih 500 ucapan dan kertas kerja.
“Hasil kerjanya mengenai hubungan antara bidang kuasa Syariah dan sivil, yang dihimpunkan dalam Konflik dan Pengharmonian, terus menjadi panduan kepada para hakim apabila diminta memutuskan di mana satu bidang kuasa berakhir dan satu lagi bermula.
“Moto beliau ialah ‘Buat Kerja’. Padanya, perbuatan membawa lebih banyak makna berbanding kata-kata. Sesebuah institusi juga perlu mendapat keyakinan masyarakat melalui cara yang sama.
“Hormat tidak datang dengan mudah, ia perlu diperoleh melalui pelaksanaan tugas dengan cekap,” katanya.
Sementara itu, Wan Ahmad Farid berkata, sumbangan Siti Norma juga wajar dikenang, khususnya pencapaian beliau sebagai pelopor wanita dalam bidang kehakiman dan perundangan.
Katanya, Siti Norma merupakan peguam wanita Melayu pertama diterima masuk ke Gray’s Inn di London pada 1962, wanita pertama memegang jawatan eksekutif dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1963 serta Yang Dipertua Mahkamah Sesyen wanita pertama pada 1967.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan wanita pertama pada 1980.
“Dari sudut pandangan Mahkamah, terdapat hakim-hakim yang duduk di Istana Kehakiman ini adalah disebabkan ombak perubahan yang dibawa oleh Tan Sri Siti Norma,” katanya. – UTUSAN









