Muhyiddin bebas, sekatan akaun Bersatu perlu batal

Muhyiddin bebas, sekatan akaun Bersatu perlu batal

HARRIS IDAHAM RASHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekatan akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu dibatalkan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa hari ini.

Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, keputusan itu menjadi asas untuk SPRM menamatkan pembekuan akaun berkenaan tanpa sebarang alasan birokrasi.

“Bagi pihak Armada, saya menegaskan bahawa rantaian pertuduhan terpilih ini adalah sebuah persekusi politik terancang demi melumpuhkan perjuangan kami.

“Rentetan pelepasan mutlak ini, Amada menuntut agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera membatalkan sekatan ke atas akaun-akaun bank rasmi Bersatu tanpa sebarang alasan birokrasi lagi.

“Tiada lagi asas perundangan mahupun moral untuk terus membekukan hak pengurusan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, keputusan mahkamah itu turut menyemarakkan semangat Armada untuk terus mempertahankan kepimpinan Muhyiddin serta menuntut keadilan demi rakyat.

“Bersatu kini sedia bangkit dengan solidariti penuh dan kekuatan keseluruhan. Segala rintangan ini tidak sedikit pun melemahkan maruah kami, malah menyemarakkan lagi obor perjuangan Armada untuk mara ke hadapan,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin Yassin dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada empat pertuduhan membabitkan kes Jana Wibawa iaitu salah guna kedudukan dan tiga kes pengubahan wang haram.

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib untuk tidak meneruskan kes itu dengan menggunapakai peruntukkan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah juga membuat keputusan berkenaan mengikut Seksyen 254(3) Kanun Prosedur Jenayah selepas menolak permohonan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) oleh pihak pendakwaan.

Empat pertuduhan yang dibebaskan itu membabitkan satu pertuduhan salah guna kedudukan bagi mendapatkan suapan RM200 juta daripada sebuah entiti.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram pula, ia melibatkan penerimaan wang bernilai RM120 juta dan RM75 juta yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik parti Bersatu, serta satu lagi penerimaan wang RM5 juta ke akaun AmBank milik parti berkenaan daripada entiti yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×