PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia untuk mempertimbangkan memberi perkhidmatan penerbangan kepada Kementerian Kesihatan dalam usaha memperkasakan perkhidmatan kesihatan kecemasan di kawasan luar bandar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya yang menyambut baik cadangan berkenaan namun mengakui Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM ketika ini berdepan kekangan aset udara berbanding keluasan kawasan dan saiz keanggotaan pasukan di seluruh negara.
Menurutnya, aset udara sedia ada di Sarawak pada masa ini adalah minima iaitu dua kapal terbang dan sebuah helikopter.
“Jadi keperluan itu mungkin agak terdesak juga pada ketika ini, tetapi demi masa depan dan kerjasama yang lebih baik dengan kementerian-kementerian ini saya percaya perkara ini boleh kita pertimbangkan.
“Mungkin dengan mungkin perolehan aset yang baru ataupun kaedah-kaedah lain yang mungkin boleh memberikan kemudahan untuk kementerian dan juga agensi bekerjasama bagi memastikan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab itu dengan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan Polis Dan Upacara Serah Terima Tugas Jawatan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, empat agensi kerajaan akan membantu KKM melaksanakan penerbangan ihsan bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman yang memerlukan rawatan perubatan terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Khidmat penerbangan ihsan itu akan digunakan buat sementara waktu sehingga siasatan berhubung insiden helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas dan terbakar di Miri, Sarawak pada Selasa lepas selesai.
Mohd Khalid turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan berkata polis telah merakam 20 keterangan saksi berkaitan setakat ini, selain beberapa lagi kenyataan akan diambil bagi melengkapkan kertas siasatan insiden berkenaan.
“Kes disiasat sebagai kematian mengejut (SDR),” jelasnya. – UTUSAN










