Lebih 97 peratus pegawai, anggota ATM isytihar harta

Lebih 97 peratus pegawai, anggota ATM isytihar harta

MALEK RAZAK SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 97.53 peratus pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk pemerintahan di setiap unit ketiga-tiga perkhidmatan, telah mengisytiharkan harta setakat ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, langkah berkenaan dilaksanakan bagi memastikan tahap tatakelola dan integriti dalam ATM sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Selain itu katanya, pemegang jawatan berisiko tinggi khususnya dalam bahagian perolehan dan pengurusan kewangan juga dinilai semula setiap 18 bulan bagi memastikan individu berkenaan dapat melaksanakan tanggungjawab mengikut tatakelola ditetapkan.

“Dalam tempoh 18 bulan, ketua di bahagian tersebut akan melihat dan membuat semakan serta analisis sama ada individu terbabit sesuai atau tidak untuk memegang jawatan berkenaan.

“Sekiranya didapati tidak berkemampuan atau tidak sesuai, mereka akan ditukarkan. Namun, jika prestasi mereka baik, pihak pemerintahan boleh mencadangkan supaya mereka terus memegang jawatan berkenaan dengan pemantauan integriti pada tahap lebih tinggi,” katanya dalam Sesi Temubual Khas Panglima Angkatan Tentera sempena Hari ATM Ke-93 di Wisma Pertahanan, semalam.

Menurut Malek Razak lagi, ATM turut melaksanakan Audit Pengurusan Standard ATM (SATM) serta siri audit tidak terjangka bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.

“Langkah ini amat kritikal bagi memastikan setiap urusan tadbir urus yang melibatkan aset, kewangan, keselamatan dan sumber manusia sentiasa telus serta mematuhi peraturan.

“Setiap penemuan audit mesti disusuli dengan tindakan korektif dan penambahbaikan serta-merta,” katanya.

Dalam pada itu Malek Razak berkata, ATM kini menubuhkan Tim NUKLEUS Angkatan Siber bagi menerajui perancangan, penyelarasan dan persediaan ke arah penubuhan rasmi Angkatan Siber sebagai angkatan keempat menjelang 2030.

Katanya, selaras dengan itu, pembangunan kepakaran dalam aktiviti siber dan elektromagnetik (CEMA) dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan keupayaan pertahanan siber negara terus diperkukuh.

“Keupayaan melibatkan aspek siber, peperangan elektronik dan operasi pengurusan spektrum juga telah diaplikasikan secara praktikal menerusi Eksesais Camar Kilat Siri 2/26.

“Pelaksanaan eksesais berkenaan bertujuan menghasilkan kesan operasi yang nyata menerusi pendekatan CEMA, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan serta keupayaan ATM dalam menghadapi persekitaran ancaman yang semakin kompleks,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×