Sudah masa hentikan politik janji

Sudah masa hentikan politik janji

SABAH dan Sarawak perlu dihormati sebagai rakan setara, bukan sekadar sasaran janji ketika pilihan raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali 16 September tiba, kita kembali mengungkap kisah bagaimana Malaysia dibentuk. Kita bercakap tentang perpaduan, kepelbagaian dan perjalanan panjang sebuah negara yang menghimpunkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Namun selepas lebih enam dekad, Hari Malaysia tidak sepatutnya sekadar menjadi hari untuk mengulang kembali sejarah. Sebaliknya, tarikh ini juga perlu menjadi ruang untuk melihat keadaan semasa negara, termasuk perkara masih belum selesai dan jurang yang masih dirasai sebahagian rakyat.

Dalam sebuah persekutuan, rasa memiliki terbina apabila rakyat melihat pembangunan dilaksanakan secara adil, suara setiap wilayah dihormati dan hak yang telah dipersetujui terus dipelihara.

Begitu juga Sabah dan Sarawak tidak boleh terus dilihat sebagai wilayah yang penting hanya apabila pilihan raya semakin hampir. Ini kerana kedudukan politik kedua-duanya penting tetapi nilai Sabah dan Sarawak jauh lebih besar daripada jumlah kerusi yang boleh menentukan pembentukan kerajaan.

Kedua-duanya adalah sebahagian daripada asas pembentukan Malaysia, selain mempunyai kepentingan ekonomi, sosial dan geopolitik yang tersendiri.

Malangnya, politik nasional kadangkala menjadikan Sabah dan Sarawak seolah-olah medan untuk mendapatkan sokongan apabila kuasa diperlukan. Ketika itu, janji pembangunan kembali rancak, tuntutan wilayah mendapat perhatian dan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) lebih kerap disebut.

Selepas kerajaan terbentuk, perhatian itu tidak seharusnya reda sehingga dianggap bergerak mengikut musim politik.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini bersetuju menyalurkan bayaran interim RM1.5 bilion kepada Sabah mulai tahun ini sementara rundingan mengenai tuntutan 40 peratus hasil negeri itu diteruskan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, bagaimanapun berkata bayaran tersebut tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad. Rundingan bagi mencari formula baharu perlu diteruskan sehingga tuntutan berkenaan direalisasikan sepenuhnya.

Sementara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, ketika ditemu bual Mingguan Malaysia pada Ogos lalu pula memaklumkan terdapat 29 perkara yang menjadi topik perbincangan di bawah MA63 dan 13 daripadanya berjaya diselesaikan.

“Antara isu yang agak kritikal adalah berkaitan Akta Laut Wilayah dan sempadan kuasa antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan. Ia melibatkan soal hasil minyak dan gas serta bidang kuasa masing-masing. Perkara ini memerlukan rundingan di peringkat tertinggi melibatkan Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan pula, Sabah adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan 112C dan 112D, berkaitan 40 peratus daripada hasil dipulangkan ke negeri itu.

“Kita berharap apabila Pas memerintah Malaysia, perkara ini bukan untuk dirunding tetapi dilaksanakan bersama-sama,” katanya.

MA63 BUKAN JANJI PILIHAN RAYA

Yang penting sekarang ialah memastikan pelaksanaan MA63 tidak terus sekadar menjadi perkara yang disebut ketika sambutan Hari Malaysia atau apabila pilihan raya semakin dekat.

Perkara yang sudah dipersetujui perlu dilaksanakan dengan jelas. Bagi perkara yang masih dirundingkan pula, rakyat berhak mengetahui sejauh mana kemajuannya dan bila boleh diselesaikan. Istilah ‘masih dalam proses’ tidak sepatutnya menjadi jawapan.

Dalam soal pembangunan, Sabah dan Sarawak juga perlu dilihat dengan ukuran yang lebih adil. Kekayaan sumber semula jadi yang ada tidak seharusnya hanya dinilai melalui jumlah hasil yang disumbangkan kepada negara tetapi berdasarkan pulangan kepada rakyat dalam peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan penduduk dan keselesaan hidup masyarakat berhampiran kawasan sumber.

Masalah infrastruktur asas pula bukan perkara baharu. Jalan raya, bekalan air, elektrik dan internet sudah terlalu lama menjadi antara perkara yang sering dibangkitkan. Kemudahan ini bukan lagi sesuatu yang boleh ditunggu sehingga ekonomi berkembang kerana semuanya menjadi asas kepada kehidupan dan kegiatan ekonomi.

Keadaan di pedalaman juga tidak boleh disamakan dengan kawasan bandar. Ada tempat yang memerlukan kos lebih tinggi dan mengambil masa lebih panjang untuk menyediakan kemudahan. Justeru, peruntukan pembangunan perlu mengambil kira keadaan sebenar sesuatu kawasan, termasuk kadar kemiskinan, jarak, kemudahan sedia ada, akses kesihatan dan pendidikan.

Pada masa sama, pembangunan Sabah dan Sarawak tidak boleh hanya bergantung kepada projek fizikal. Kedua-dua wilayah itu mempunyai kekuatan ekonomi sendiri yang boleh dikembangkan.

Hasil pertanian tempatan boleh diproses dengan lebih banyak di negeri sendiri. Tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, pelancongan dan perusahaan kecil juga mempunyai ruang yang besar untuk berkembang.

Apabila lebih banyak pekerjaan berkualiti tersedia, anak muda tidak lagi perlu melihat penghijrahan sebagai satu-satunya jalan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Pada masa sama, bakat tempatan dapat terus menyumbang kepada pembangunan negeri sendiri.

Begitu juga pendidikan perlu bergerak seiring dengan usaha itu. Sekolah di luar bandar memerlukan guru berkualiti, kemudahan pembelajaran dan capaian teknologi yang baik.

Institusi pendidikan tinggi (IPT) serta pusat latihan kemahiran pula perlu lebih dekat dengan keperluan industri. Tidak bermakna jika graduan terus bertambah tetapi pekerjaan yang sesuai masih sukar dicari.

Hal sama dalam sektor kesihatan. Jarak tidak sepatutnya menjadi hukuman kepada mereka yang tinggal jauh dari bandar.

Klinik bergerak, teleperubatan, kemudahan diagnostik asas dan insentif kepada petugas kesihatan untuk berkhidmat di kawasan pedalaman boleh membantu merapatkan jurang. Tidak semua masalah memerlukan hospital besar. Kadangkala yang lebih penting ialah memastikan perkhidmatan asas benar-benar sampai kepada rakyat.

Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah cara kita mengukur kejayaan sesuatu pembangunan. Sebuah projek tidak boleh dianggap berjaya hanya kerana peruntukannya diumumkan atau diluluskan tetapi sama ada projek itu siap, digunakan dan memberi manfaat kepada rakyat.

Sebab itu, kemajuan projek perlu boleh dilihat dan dinilai. Rakyat perlu tahu kosnya, tahap pelaksanaan, kelewatan yang berlaku dan sebab sesuatu sasaran tidak tercapai.

Sabah dan Sarawak juga perlu dilihat sebagai rakan dalam pembangunan negara, bukan sekadar penerima peruntukan. Jika tanggungjawab semakin besar diberikan kepada kerajaan negeri, maka ruang membuat keputusan serta sumber kewangan yang sepadan juga perlu diberi.

Autonomi bukan sekadar soal siapa mempunyai kuasa. Yang lebih penting ialah kemampuan menggunakan kuasa itu untuk memberi manfaat kepada rakyat.

Perbezaan antara wilayah mungkin tidak akan hilang dan tidak perlu pun dihapuskan. Malaysia dibentuk dengan kepelbagaian itu. Yang tidak sepatutnya berlaku ialah perbezaan tersebut menyebabkan sebahagian rakyat mempunyai peluang jauh lebih kecil untuk menikmati kehidupan yang baik.

Sabah dan Sarawak bukan simpanan politik yang hanya dicari apabila diperlukan. Kedua-duanya adalah sebahagian daripada sejarah pembentukan Malaysia, struktur negara hari ini dan masa hadapannya. Sebab itu, hubungan antara wilayah perlu dibina atas rasa hormat dan kepercayaan. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×