KUALA TERENGGANU: Seorang penghantar barang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, pada Jun dan September tahun lalu.
Abdul Qayyum Ahmad, 37, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan cara memegang buah dada dan kemaluan kanak-kanak perempuan itu pada Jun 2025 di Kampung Pengkalan Setar, Gelugor Kedai, di sini.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa pada 17 September 2025 di kawasan sama. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Oktober ini untuk sebutan bagi serahan dokumen dan status penarikan balik laporan.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Manir setiap bulan serta tidak mengganggu semua saksi pendakwaan termasuk mangsa. – UTUSAN










