PETALING JAYA: Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah bakal dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman berkuat kuasa 19 Oktober depan.
Difahamkan, beliau menggantikan Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid yang kini dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.
Pelantikan ini menjadikan Mohamad Zainal, 48, adalah pengarah termuda dalam kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia.
Mohamad Zainal sebelum ini mula bertugas sebagai Pesuruhjaya Sarawak pada September tahun lalu.
Antara jawatan pernah disandang beliau adalah Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Ketua Penolong Pengarah D5, Pendakwaan/Undang-Undang JSJ Bukit Aman, Ketua Polis Daerah (Kpd) Dang Wangi dan KPD Perak Tengah.
Mohamad Zainal juga merupakan antara ‘produk’ Harvard Business School selepas mengikuti program pengurusan lanjutan, selain memiliki pelbagai kelulusan akademik.
Antaranya ialah Ijazah Sarjana Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sarjana Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Sarjana Muda Undang-Undang (UiTM), serta Sarjana Muda Sosial Pentadbiran dan Keadilan dari Universiti Malaya (UM).
Satu kenyataan rasmi dijangka akan dikeluarkan PDRM berhubung pertukaran tersebut.
Sementara itu, Mohamad Zainal ketika dihubungi mengesahkan pelantikan tersebut. – UTUSAN










