PETALING JAYA: Suami kepada jururawat, Debra Moset yang terkorban dalam nahas helikopter terhempas di Long Lellang, bangga dengannya isterinya kerana sudah berkhidmat dan berkorban demi negara.
John Then Hua Ken, 43, berkata, isterinya merupakan soerang wanita yang rendah diri, baik, berdedikasi dan jujur dalam melaksanakan tanggungjawabnya membantu masyarakat.
Katanya, isterinya juga tidak pernah mempunyai masalah dengan rakan sekerja di mana saja perkhidmatannya diperlukan.
“Penerimaan mereka kepada isteri saya yang pulang sebagai seorang wirawati, saya rasa sangat bersyukur,” katanya lapor sebuah portal hari ini.
Debra berkhidmat sebagai jururawat program Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) antara lima yang terkorban apabila helikopter BO-105 dinaiki terhempas berhampiran hujung landasan STOLport, Long Lellang, Selasa lalu.
Turut terkorban adalah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr. Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta jururawat, Jessie Paya Jok, 44.
Dalam pada itu, Hua Ken turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ketua masyarakat serta komuniti setempat atas segala sokongan yang diberikan kepada keluarganya.
Menurutnya lagi, kepulangan jasad Debra ke rumah baharunya itu menjadi penghormatan terakhir terhadap impian mendiang yang tidak sempat direalisasikan sendiri sebelum tragedi berlaku.
Debra sebelum ini sudah menyediakan pelbagai kelengkapan rumah termasuk tilam, pinggan, peralatan memasak, pisau dan mesin pencincang namun kediaman tersebut masih menunggu penyambungan meter elektrik.
“Dia memang berniat kalau andai kata dia ke Kuching lagi, dia memang akan tidur di sini. Itu impian dia sebab rumah ini hanya tinggal penyambungan meter elektrik sahaja,” katanya. – UTUSAN










