Kasih seorang ibu kadangkala hadir dalam bentuk ketegasan, sementara kepercayaan seorang anak pula terzahir melalui kesediaan untuk menyerahkan arah tuju kehidupan kepada insan yang paling mengenalinya.
Bagi Azeva Natassha, setiap keputusan ibunya yang juga penerbit tersohor Datuk A. Aida dalam mengatur langkah seninya tidak pernah dianggap sebagai satu bentuk kongkongan.
Sebaliknya, penyanyi berusia 25 tahun itu memilih untuk meletakkan sepenuh kepercayaan kepada ibu tercinta yang sudah lebih tiga dekad selami industri seni tanah air.
“Sebenarnya saya tidak berasa saya dikongkong oleh ibu saya. Saya sendiri yang rela hati membenarkan dia menguruskan saya kerana saya percaya dia tahu apa yang terbaik. Ibu saya sudah lama dalam industri dan mengenali ramai orang.
“Jadi, dia tahu apa yang baik dan tidak baik untuk saya. Kalau hendak kata ibu saya mengongkong, tidak. Sebenarnya dia sedang mempersiapkan saya dan saya memilih untuk ikut nasihatnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sedar dirinya masih hijau dalam industri, Azeva menyifatkan segala hala tuju yang ditentukan oleh penerbit yang juga pengurusnya itu sebagai persiapan untuk menjadikannya seorang anak seni yang mempunyai kualiti.
“Sejujurnya, ada produksi lain yang menawarkan saya berlakon. Saya sendiri tidak tahu pun rupanya ibu saya sudah menolak beberapa tawaran.
“Tetapi saya okey sahaja. Saya faham mungkin mama mempunyai perancangan tertentu untuk saya. Dia mahu saya belajar berlakon terlebih dahulu sebelum bekerja dengan produksi lain kerana saya membawa nama dia juga.
“Kalau saya tidak pandai berlakon, nanti orang akan kata saya dapat peluang kerana ada ‘kabel’. Disebabkan itu, dengan rendah hati saya banyak menolak kerana tahu saya masih belum cukup bersedia,” jelasnya.

Tidak pernah terdetik mahu jadi artis
Dalam masa sama, penyanyi lagu Tanpa Rasa Jemu itu mengakui dunia seni sebenarnya bukan bidang yang pernah menjadi pilihannya ketika membesar meskipun kedua-dua ibu bapanya mempunyai latar belakang dalam industri hiburan.
Melihat kesibukan kerjaya ibu bapanya sehingga menyebabkan masa bersama keluarga terbatas, Azeva yang juga anak kepada penyanyi Ameng Spring mengakui situasi itu menjadi antara faktor dia menjauhkan diri daripada industri seni.
“Sejak kecil, ibu saya memang sudah suruh saya berlakon dan menyanyi. Tetapi saya sendiri tidak tahu kenapa, memang tidak pernah terdetik dalam hati untuk berada dalam industri ini. Saya melihat perjalanan hidup mak dan ayah saya.
“Kedua-duanya dalam industri seni, jadi saya terfikir saya tidak mahu melalui kehidupan seperti mereka. Bukan bermaksud saya tidak mahu jadi seperti mereka, tetapi saya lihat mereka tidak mempunyai banyak masa untuk keluarga.
“Ayah tiada, mak pun tiada kerana masing-masing sibuk bekerja. Jadi, saya tidak mahu melalui perkara sama,” kongsinya.
Bagaimanapun, pendirian Azeva berubah selepas A. Aida berdepan masalah kesihatan sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sekali gus membuatkannya terbuka hati untuk mencuba bidang yang selama ini dielakkannya.
“Selepas ibu masuk ICU, barulah hati saya terbuka untuk beri diri saya peluang untuk ceburi industri ini. Kalau mahu dikatakan trauma, mungkin saya sebenarnya sedang cuba memulihkan sisi diri saya sejak kecil yang selama ini tidak mahu mengikut jejak mereka,” katanya.
Mengakui dirinya semakin serasi dengan dunia seni, Azeva tidak menyangka rezekinya semakin meluas apatah lagi kini dia sudah mula terjun ke bidang selepas berpeluang mencuba bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan.
“Pada awalnya memang 100 peratus saya buat untuk ibu saya. Saya tidak fikir apa orang mahu kata, sama ada saya tidak sedap menyanyi atau lakonan saya tidak bagus.
“Saya cuma mahu tengok mama gembira dan tersenyum. Tetapi selepas saya benar-benar menjejakkan kaki dalam industri, saya sedar sebenarnya bidang ini menyeronokkan untuk saya juga.
“Saya dapat bertemu ramai rakan baharu dan saya tidak sangka ada orang yang sudi mendengar suara saya, melihat saya berlakon dan mengacara. Bagi saya, semua ini antara rezeki terbesar dalam hidup saya,” ujarnya.










