GEORGETOWN: “Insya-Allah saya serahkan semua urusan kepada Allah, saya bertawakal kerana Allah sebaik-baik penjaga,”.
Demikian kata Muhammad Adam Iskandar Azharunaim, 20, yang terpaksa meninggalkan tiga adiknya untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM), di sini.
Walaupun berat meninggalkan dua adiknya Nur Aleesya Syafiyah, 17, dan Muhammad Ashraf Iskandar, 16, namun dia yakin mereka matang serta mampu berdikari kerana sudah biasa membantu menguruskan kehidupan keluarga.
Beliau berkata, perpisahan kali ini terasa lebih mencabar kerana mereka baru kehilangan ibu yang menghidap kanser otak 24 Ogos lalu.
Katanya, selama ini, arwah ibunya menjadi penguat semangat buat dirinya dan adik beradik selepas pemergian bapa akibat COVID-19 pada 2021.
“Mudah-mudahan waktu ketiadaan saya, mereka menjaga diri dengan baik. Saya juga bersyukur kerana mempunyai saudara mara dan masyarakat yang bersikap prihatin serta mengambil berat kebajikan keluarga kami,” katanya ketika ditemui pemberita di USM, hari ini.
Katanya, Muhammad Ashraf yang juga orang kurang upaya (OKU) kerana sebelah kakinya pendek kini mengikuti bidang kemahiran kulinari menerusi Program Pendidikan Khas Integrasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serdang Baru, Kedah.
Sementara, adik keduanya, Nur Alya Syafiah, 19, berada di Kuala Lumpur dan dijaga ibu saudara untuk menghadiri janji temu susulan selepas dikhuatiri mewarisi penyakit genetik berkaitan kanser sama seperti arwah ibunya.
Muhammad Adam Iskandar berkata, sebelum membuat keputusan melanjutkan pengajian ke USM dalam bidang pendidikan, dia hampir menolak peluang berkenaan.
“Ketika temu duga pemilihan kemasukan sebelum ini saya juga memaklumkan kepada panel mengenai tanggungjawab yang saya galas.
“Saya pernah juga terfikir macam mana nak ulang alik dari USM jika dapat sambung belajar tetapi perancangan Allah lebih indah,” katanya.










