MUSCAT: Oman mengumumkan penangguhan mesyuarat antara Iran dan negara-negara Teluk mengenai Selat Hormuz pada Isnin, yang menjadi titik ketegangan utama dalam perang di Asia Barat.
Kementerian Luar Iran sebelum ini memaklumkan mesyuarat yang dianjurkan Oman itu akan membincangkan masa depan Selat Hormuz, laluan penting bagi aliran minyak dan gas global.
Teheran berkata, Iraq dan negara-negara Teluk akan menyertai mesyuarat berkenaan, namun tidak menyatakan negara yang terlibat.
Tiada negara di rantau itu mengesahkan penyertaan mereka, manakala Bahrain menegaskan tidak akan menghadiri mesyuarat tersebut.
“Telah diputuskan untuk menangguhkan ke satu tarikh lain mesyuarat serantau yang sepatutnya diadakan pada Isnin di Salalah, bagi mewujudkan keadaan yang sesuai untuk dialog yang membina,” menurut Agensi Berita Oman kelmarin.
Menteri Luar Oman, Badr Albusaidi, menerusi X berkata negaranya kekal komited untuk menggalakkan dialog yang menyumbang kepada kestabilan dan kerjasama berkekalan di rantau itu.
Selat Hormuz berdepan sekatan oleh Iran dan kemudian Amerika Syarikat (AS) sejak 28 Februari, selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, mencetuskan perang lebih meluas di rantau berkenaan.
Perjanjian antara Washington dan Teheran pada Jun gagal mencapai kesepakatan berikutan pertikaian mengenai Selat Hormuz, manakala serangan besar-besaran kumpulan pemberontak Houthi di Yemen sejak beberapa hari lalu memberikan kumpulan yang bersekutu dengan Teheran itu pengaruh terhadap satu lagi laluan penting, Selat Bab al-Mandab.
Lebih enam bulan selepas perang di Asia Barat tercetus, sekatan di Selat Hormuz terus mendorong kenaikan harga minyak yang melepasi AS$100 (RM406) setong minggu lalu.
Sebelum perang tercetus, kapal bebas melalui selat itu. Namun kini, Iran mewajibkan kapal mendapatkan kebenaran dan sedang mempertimbangkan mekanisme untuk mengenakan bayaran perkhidmatan.- AFP










