BALING: Penduduk Kampung Charuk Kapas, Kupang, kini hidup dalam kebimbangam selepas gajah liar dipercayai memasuki kawasan penempatan mereka, awal pagi kelmarin.
Menurut penduduk, Azril Isa, 42, kejadian disyaki berlaku kira-kira pukul 3 pagi ketika kebanyakan penduduk sedang tidur.
Menurutnya, gajah berkenaan didapati turun dari kawasan bukit sebelum memasuki kawasan rumah penduduk dan memusnahkan tanaman pisang.
“Rumah mak saya, Siti Bunga Idris, 72, terletak berhampiran dengan kebun pisang namun tiada siapa tinggal di situ sebab mak tinggal dengan saya, tapi jarak rumah saya hanya 100 meter sahaja.
“Pagi kelmarin sekitar pukul 3 pagi, gajah liar dipercayai turun dari kawasan bukit dan masuk ke kawasan rumah kami lalu memusnahkan pokok-pokok pisang yang ditanam jiran di sekitar rumah mereka,” katanya di sini hari ini.
Azril berkata, kebiasaannya gajah berkenaan datang sekitar pukul 3 atau 4 pagi untuk memakan hasil tanaman penduduk sebelum kembali ke hutan apabila hari hampir cerah.
“Sebelum ini, awal tahun ini seekor gajah telah ditangkap oleh Perhilitan dan beberapa tahun lepas juga ada tangkapan seekor gajah di kawasan ini.
“Bulan lepas mungkin gajah yang sama turun ke kampung berhampiran dan makan hasil tanaman pisang yang telah diusahakan penduduk, kini di kawasan rumah saya pula menjadi sasarannya,” ujarnya.
Katanya, selain merosakkan tanaman pisang, gajah berkenaan turut menolak sebatang pokok kelapa sehingga menimpa bahagian tepi rumah ibunya.
Tambahnya, kira-kira pukul 6.30 petang semalam, dia masih terdengar bunyi suara gajah berkenaan sebanyak dua atau tiga kali dari kawasan bukit yang keadaan itu menyebabkan penduduk bimbang gajah itu akan turun semula ke kawasan rumah mereka.
“Kami berharap pihak Perhilitan segera bertindak menangkap gajah liar tersebut bagi mengelakkan kejadian lebih buruk serta mengancam keselamatan penduduk kampung,” katanya. – UTUSAN










