KENYATAAN Pas yang bersedia untuk memerintah negara seperti disuarakan pada Muktamar Pas baru-baru ini perlu dilihat sebagai satu amanah besar, bukan sekadar keyakinan politik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Jika benar mahu tampil sebagai sebuah parti yang bersedia menerajui negara, setiap dasar dan prinsip yang bakal diperjuangkan hendaklah dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan, berhikmah serta mengambil kira realiti masyarakat yang pelbagai. Pendekatan tersebut penting supaya perubahan yang dibawa tidak menimbulkan keresahan atau masalah baharu.
Sebagai contoh, sekiranya terdapat dasar atau amalan yang dilihat bercanggah dengan prinsip Islam, usaha memperbetulkannya wajar dilakukan secara berperingkat dan tersusun. Perubahan yang baik tidak semestinya perlu dilaksanakan secara tergesa-gesa. Sebaliknya, penerangan, pendidikan dan proses yang jelas dapat membantu masyarakat memahami tujuan sesuatu dasar serta mengurangkan salah faham.
Hakikatnya, Islam membawa makna keselamatan, kesejahteraan dan kebaikan untuk seluruh manusia. Justeru, perjuangan berteraskan Islam sewajarnya diterjemahkan melalui pentadbiran yang adil, amanah, matang dan mampu memberi manfaat kepada semua tanpa mengira latar belakang.
Dalam konteks politik pembangkang, hala tuju Perikatan Nasional (PN) juga masih menjadi persoalan. Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, menegaskan beliau akan memimpin gabungan itu ke arah mengambil alih kerajaan Persekutuan pada PRU akan datang.
Ketika berucap pada pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Kedah di Kota Sarang Semut, beliau mengakui terdapat pelbagai persoalan mengenai masa depan PN, kedudukan Pas dalam gabungan tersebut, bentuk kerjasama dengan pihak lain serta lambang yang akan digunakan pada pilihan raya akan datang.
Apa juga keputusan berkaitan perkara itu, semua pihak perlu bergerak ke hadapan dengan sikap lebih matang. Kenyataan atau pertikaian pada masa lalu tidak seharusnya terus menjadi penghalang kepada usaha membina kerjasama.
Jika Pas benar-benar mahu membuktikan kesediaan memerintah, kekuatan itu perlu diterjemahkan melalui dasar yang jelas, pendekatan sederhana dan kebijaksanaan mengurus perbezaan.
Pemerintahan yang baik bukan hanya tentang siapa yang berkuasa tetapi bagaimana kuasa digunakan untuk membawa keamanan, keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat. –UTUSAN
TEROPONG JAUH
Jerantut, Pahang










