Langit kota jadi ilham

Langit kota jadi ilham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila matahari mula terbit, warna langit Kuala Lumpur berubah sedikit demi sedikit, sebelum bertukar kepada rona keemasan ketika senja dan akhirnya diterangi cahaya kota.

Perubahan itu menjadi antara ilham di sebalik koleksi terbaharu Fern menerusi Resortwear 2026: Skyline.

Jenama fesyen tempatan ini melihat Kuala Lumpur dari sudut berbeza, menjadikan panorama kota sebagai sumber inspirasi untuk menghasilkan koleksi yang menggabungkan warisan dan sentuhan kontemporari.

Bukan sekadar menampilkan bangunan pencakar langit, koleksi ini cuba menangkap suasana sebuah kota yang sentiasa berubah dan berkembang, sama seperti identiti Malaysia yang terus bergerak ke hadapan.

Perekanya, Fern Chua berkata, elemen seperti garisan seni bina, bentuk geometri, permukaan kaca serta struktur bangunan diterjemahkan ke dalam motif dan corak batik yang lebih moden.

Antara mercu tanda yang menjadi rujukannya ialah Menara Merdeka Maybank dan Menara Berkembar Petronas (KLCC), dengan permukaan reflektif serta bentuknya diterjemahkan melalui permainan tekstur, garisan dan warna.

Menariknya, elemen seni bina yang kelihatan kukuh dan berstruktur itu diberikan sentuhan lebih lembut menerusi potongan resortwear yang longgar dan mengalir.

Penggunaan kapas, sutera dan linen pula memberikan karakter ringan pada koleksi, menjadikannya sesuai untuk gaya santai tanpa menghilangkan sisi elegan.

Warna turut memainkan peranan penting dalam membentuk identiti Skyline.

Rona biru yang mengambil ilham daripada langit terbuka beransur-ansur berubah kepada jingga, merah jambu dan emas.

Peralihan warna itu seolah-olah membawa pemerhati melalui satu perjalanan dari waktu fajar hingga senja, sebelum cahaya kota mengambil alih langit Kuala Lumpur.

Di sebalik pendekatan moden itu, Fern tetap mempertahankan batik sebagai identiti utama koleksi.

Teknik tradisional terus diberi tempat, tetapi ditampilkan dalam bentuk lebih segar dan dekat dengan gaya hidup.

Baginya, warisan tidak perlu dilihat sebagai sesuatu yang statik, sebaliknya boleh berkembang melalui eksperimen dan tafsiran baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×