Bayaran RM1.5 bilion bukan penyelesaian muktamad tuntutan 40 peratus Sabah - Arthur

Bayaran RM1.5 bilion bukan penyelesaian muktamad tuntutan 40 peratus Sabah – Arthur

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Bayaran khas RM1.5 bilion kepada Sabah oleh kerajaan Persekutuan bukan penyelesaian muktamad tuntutan negeri ini terhadap 40 peratus hasil bersihnya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata bayaran interim itu adalah perkembangan positif dalam menangani hak kewangan Sabah, namun tidak bermakna negeri ini menerima penyelesaian berkenaan secara mutlak.

Katanya, rundingan bagi mendapatkan formula baharu perlu diteruskan, manakala pendirian Sabah untuk menuntut hak 40 peratus seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kekal teguh.

“Bayaran interim ini tidak seharusnya dianggap sebagai penyelesaian muktamad bagi tuntutan Sabah terhadap 40 peratus daripada hasil bersihnya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Penerimaan Sabah terhadap bayaran ini sama sekali tidak bermaksud kita telah berpuas hati atau menerima penyelesaian ini secara mutlak.

“Pendirian kita kekal teguh, Sabah berhak menuntut hak 40 peratus di bawah kerangka perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arthur berkata, pengukuhan MA63 turut perlu meliputi aspek hak perwakilan politik Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat, selain hak kewangan.

Menurutnya, peratusan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak kini sekitar 25 hingga 27 peratus dan penstrukturan semula perlu dilakukan susulan keluarnya Singapura daripada Persekutuan.

Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan kedudukan perwakilan kedua-dua negeri itu selari dengan semangat asal pembentukan Malaysia.

“Saya telah memperjuangkan isu ini secara konsisten di Dewan Rakyat sejak 2018 dan akan terus membawanya di peringkat Kabinet Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, persetujuan untuk mengkaji penambahan jumlah wakil Sabah dan Sarawak sudah dicapai menerusi Majlis Tindakan MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri.
Katanya, kajian itu turut membabitkan persempadanan semula serta libat urus dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam pada itu, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, sebarang persempadanan semula di kawasan pedalaman tidak boleh hanya mengambil kira keluasan geografi.

Sebaliknya, katanya, taburan penduduk, tahap kesukaran dan akses ke pusat mengundi serta potensi aktiviti ekonomi perlu turut dinilai bagi memastikan sistem perwakilan yang adil dan berkesan.

“Jika sesebuah kawasan itu sangat luas tetapi penduduknya sedikit, penilaian khas terhadap cabaran akses dan keperluan pembangunannya mesti diambil kira bagi mewujudkan sistem perwakilan yang benar-benar efektif dan adil untuk komuniti pedalaman,” katanya.

Arthur berkata, perjuangan terhadap hak kewangan dan perwakilan politik Sabah akan diteruskan sehingga hak negeri itu di bawah MA63 direalisasikan sepenuhnya.

“Setiap perkembangan positif hari ini adalah hasil rundingan yang berterusan, namun perjuangan kita belum selesai sehingga hak-hak Sabah yang termaktub dalam MA63 direalisasikan sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×