PUTRAJAYA: Suasana pilu menyelubungi Unit Forensik Hospital Putrajaya (HPJ) petang ini apabila ahli keluarga dan kenalan rapat menunggu penuh sabar proses bedah siasat remaja perempuan yang ditemui maut selepas terjatuh dari apartment di Presint 5, di sini malam tadi.
Tinjauan wartawan Utusan Malaysia mendapati, proses bedah siasat bermula kira-kira pukul 1 tengah hari itu sebelum selesai dua jam kemudian.
Proses bedah siasat selesai sekitar 3 petang dan jenazah di bawa keluar dari Unit Forensik, HPJ sekitar pukul 5 petang.
Bukan sahaja ahli keluarga, malah guru-guru arwah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 5 juga hadir memberi penghormatan terakhir.
Difahamkan, jenazah Zara Sofea Muhammad Al-Hadi, 15, akan disembahyangkan di Surau Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Seruling, Presint 5, sebelum dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Putrajaya, Presint 20, di sini, petang ini.
Usaha wartawan untuk menemubual ibu dan bapa arwah tidak berjaya kerana mungkin masih bersedih dengan pemergian arwah.
Dalam kejadian pukul 10.33 malam itu, remaja perempuan berusia 15 tahun itu maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 9 apartment berkenaan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu menerusi panggilan kecemasan MERS 999 sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi.
Katanya, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Putrajaya.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (LMM) dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – UTUSAN









