Sektor sarung tangan, teknologi, tarik pelabur

Sektor sarung tangan, teknologi, tarik pelabur

TOP Glove Corporation Bhd. mendahului senarai saham paling aktif dengan jumlah dagangan sebanyak 2.10 bilion unit serta kenaikan harga 3.5 sen minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor sarung tangan, teknologi dan produk kimia dijangka terus menjadi tumpuan pelabur minggu ini berikutan pemulihan permintaan dan dinamik pasaran semasa, biarpun prestasi setiap syarikat perlu dinilai secara ketat berdasarkan segmen perniagaan serta asas kewangan masing-masing.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, pemulihan jumlah dagangan dan peningkatan margin keuntungan bagi pembuat sarung tangan kini disokong oleh pengumpulan modal pelabur tempatan.

“Sebagai contoh, Top Glove Corporation Bhd. mendahului senarai saham paling aktif dengan jumlah dagangan sebanyak 2.10 bilion unit serta kenaikan harga 3.5 sen minggu lalu, manakala Hartalega Holdings Bhd. turut melonjak 6.0 sen.

“Bagaimanapun, kemampanan keuntungan syarikat sarung tangan amat bergantung kepada kecekapan operasi, pengawalan kos dan dinamik pasaran global,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada Jumaat lalu, indeks penanda aras FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) merosot 17.18 mata kepada 1,688.34 pada pertengahan hari sebelum melanjutkan penurunan sebanyak 19.17 mata untuk ditutup pada paras 1,686.35.

Kejatuhan itu seiring dengan trend pasaran serantau menyaksikan Indeks Nikkei 225 Jepun merosot 1,259.61 mata kepada 64,011.34, Kospi Korea Selatan susut 124.01 mata kepada 6,909.91, Hang Seng Hong Kong turun 148.84 mata kepada 24,805.63, manakala Indeks Straits Times Singapura ditutup pada 5,689.74.

Mengulas mengenai sektor teknologi, Mohamad Idham berkata, prospek jangka panjang kekal positif didorong oleh trend pendigitalan, permintaan kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor, namun pelabur perlu lebih selektif berikutan prestasi syarikat yang tidak seragam.

“D & O Green Technologies Bhd. mencatatkan lonjakan 5.0 sen disokong minat terhadap komponen automotif dan LED, manakala Inari Amertron Bhd. menyusut 1.0 sen akibat tekanan jumlah perniagaan,” ujarnya.

Tambah beliau, sektor produk industri dan kimia seperti Petronas Chemicals Group Bhd. serta gergasi perladangan SD Guthrie Bhd. berada pada kedudukan berpotensi untuk mendapat manfaat dalam persekitaran pasaran semasa.

Sehubungan itu, beliau berkata, pelabur diingatkan supaya mengutamakan kekuatan asas sesebuah syarikat berbanding sekadar mengejar momentum harga, jumlah aktif, atau sentimen media sosial.

“Syarikat yang mempunyai asas perniagaan lemah, keberhutangan tinggi dan aliran tunai tidak stabil adalah yang paling terdedah apabila pelabur mula mengambil pendekatan menghindari risiko. Jika kenaikan harga disokong pemulihan margin atau prospek industri, asasnya lebih kukuh berbanding kenaikan akibat spekulasi semata-mata.

“Saham asas kekal menjadi tulang belakang Bursa Malaysia. Saham spekulatif akan kurang ‘glamour’ pada minggu ini kerana pelabur runcit akhirnya akan beralih semula kepada saham berasas kukuh,” tambahnya. 

Menurut beliau, saham berwaran terbitan dan kaunter bersaiz kecil perlu dinilai dengan lebih berhati-hati kerana terdedah kepada turun naik harga harian yang mendadak.

Menurutnya, keupayaan syarikat menjana keuntungan dan aliran tunai secara konsisten kekal sebagai kunci utama bagi memastikan momentum kenaikan saham dapat bertahan dalam tempoh jangka panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×