Apa status tujuh pemain warisan di Liga Super?

Apa status tujuh pemain warisan di Liga Super?

Joao Figueiredo antara pemain warisan dalam pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang terpalit dengan isu pemalsuan dokumen. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tujuh pemain warisan yang sudah memperoleh kewarganegaraan Malaysia kini berdepan persoalan baharu apabila timbul isu sama ada mereka boleh dikategorikan sebagai pemain tempatan atau tidak untuk beraksi dalam Liga Super.

Calon Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, status tujuh pemain itu tidak boleh ditentukan hanya berdasarkan pemilikan kad pengenalan atau kewarganegaraan Malaysia, sebaliknya perlu merujuk tafsiran peraturan pemain tempatan yang diguna pakai Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Menurutnya, berdasarkan garis panduan terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), perkara yang sudah jelas ialah pemain berkenaan tidak boleh mewakili skuad kebangsaan Malaysia jika tidak memenuhi syarat kelayakan ditetapkan badan induk dunia itu.

“Pada asasnya, pada akhirnya mereka tidak boleh bermain untuk pasukan kebangsaan Malaysia. Itu jelas. Persoalannya sama ada mereka boleh bermain untuk kelab sebagai pemain tempatan, ia bergantung kepada peraturan MFL mengenai bagaimana mereka mentafsir pemain tempatan,” katanya.

Shahril berkata, sekiranya MFL mentafsir pemain tempatan berdasarkan pemilikan kad pengenalan atau status kewarganegaraan Malaysia, maka status tujuh pemain terbabit perlu ditentukan berdasarkan tafsiran tersebut.

Bagaimanapun, beliau mengakui wujud dilema dari sudut prinsip kerana status pemain tempatan lazimnya dikaitkan dengan kelayakan seseorang untuk mewakili pasukan kebangsaan.

“Kalau mereka mentafsir pemain tempatan sebagai pemain yang hanya mempunyai kad pengenalan atau kewarganegaraan yang menjadikan mereka pemain tempatan, maka perlu gunakan tafsiran itu.

“Tetapi walaupun masuk akal jika anda pemain tempatan, anda mestilah layak untuk pasukan kebangsaan. Jadi di sinilah dilemanya,”jelasnya.

Sehubungan itu, Shahril berkata beliau akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pasukan perundangan dan FIFA bagi memastikan kedudukan sebenar tujuh pemain terbabit dalam konteks saingan domestik.

“Saya boleh semak untuk anda. Kita sebenarnya perlu semak dengan FIFA. Walaupun anda menulis kepada kami, kami akan minta anda menulis kepada FIFA. Tetapi saya boleh minta pasukan perundangan saya untuk menyemak dengan FIFA mengenai perkara yang anda sebutkan,” jelasnya.

Persoalan berkenaan timbul susulan penerbitan edisi terbaharu Ulasan Peraturan Mengenai Kelayakan Beraksi untuk Pasukan Perwakilan serta Panduan Mengemukakan Permohonan Kelayakan atau Pertukaran Persatuan oleh FIFA.

Menerusi dokumen itu, FIFA menjelaskan bahawa kewarganegaraan tidak secara automatik menjadikan seseorang pemain layak mewakili sebuah negara apabila syarat ‘genuine link’ atau hubungan tulen terpakai.

Hubungan berkenaan boleh dikenal pasti menerusi faktor seperti kelahiran, keturunan atau tempoh pemastautin yang ditetapkan.

Untuk rekod, FIFA sebelum ini menjatuhkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain terbabit selepas mendapati berlaku pemalsuan dokumen berkaitan kelayakan, sebelum kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Kini, selain persoalan kelayakan mewakili Harimau Malaya, status mereka dalam pertandingan domestik turut menjadi perhatian, khususnya sama ada tujuh pemain itu boleh beraksi sebagai pemain tempatan atau perlu tertakluk kepada kategori lain berdasarkan peraturan MFL.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×